New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/09/23/40000-individu-disyaki-anggota-kongsi-gelap-diburu/
40,000 individu disyaki anggota kongsi gelap diburu
JOHOR BAHRU, 23 September:
Bukit Aman sedang menjejaki lebih 40,000 individu disyaki anggota kumpulan kongsi gelap yang melakukan jenayah kekerasan di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata daripada jumlah itu, sebahagian besar individu terbabit sudah dikenal pasti, walaupun mereka berselindung di bawah payung pertubuhan-pertubuhan yang sah.
“Mereka ini terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah, antaranya penyalahgunaan dadah, samun, bunuh dan pemerasan, iaitu keganasan yang mendatangkan ketakutan kepada awam,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Isnin.
Menurutnya, terdapat 72 pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, 49 daripadanya sudah diharamkan, manakala 23 lagi akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk digazetkan sebagai pertubuhan haram.
“Jadi, lebih 40,000 individu ini merupakan mereka yang terlibat dalam jumlah keseluruhan, iaitu 72 pertubuhan kongsi gelap di seluruh negara,” katanya.
Mohmad mengakui, ia adalah cabaran besar kepada polis, namun beliau percaya kumpulan itu dapat disekat daripada terus berkembang.
“Anggota kumpulan ini ada tanda-tanda tertentu. Walaupun ada yang terlibat dalam persatuan ‘halal’, tetapi mereka tidak akan terlepas, kerana sebagus mana lakonan mereka, kita tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.
Kadar jenayah berat telah meningkat, selepas lebih 2,600 anggota kongsi gelap dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, sejak Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad (1933) dimansuhkan pada 2011.
Mohmad percaya, mereka giat merekrut anggota baru untuk kumpulan mereka, selepas keluar dari penjara.
Beliau berkata, tindakan dan siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, serta Akta Pertubuhan 1966 dilakukan, bagi menjejaki individu yang bergerak aktif dalam pertubuhan haram itu, antaranya geng 36, geng 04, geng 24, geng 21 dan geng 77.
Polis mencapai kejayaan, selepas sebuah komputer yang mengandungi maklumat nama-nama anggota sebuah kongsi gelap dan kegiatan mereka diperolehi menerusi Ops Cantas Khas Selatan pada Sabtu dan Ahad lalu.
Tanpa memberikan butiran lanjut, beliau berharap maklumat itu dapat digunakan untuk memerangi jenayah berat yang dilakukan anggota-anggota kongsi gelap.
Seramai 226 individu diperiksa dalam 26 serbuan di Johor, menerusi operasi yang disertai 110 anggota dan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Johor, Melaka dan Pahang, dalam usaha membanteras kongsi gelap, kumpulan samun berkawan dan jenayah kekerasan.
“Seramai 102 daripada jumlah keseluruhan yang diperiksa dan ditahan itu, terdiri daripada suspek jenayah, narkotik, orang yang dikehendaki, mempunyai kes imigresen dan kes-kes di bawah POCA,” katanya.








