New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/04/14/jaya-varusam-tahun-baru-tamil/
'Jaya Varusam'-Tahun Baru Tamil
Kuala Lumpur, 14 April
Tahun Baru Tamil, yang dikenali sebagai ‘Varisha Piruppu’ atau Puthandu (Tahun baru) disambut pada 14 April setiap tahun. Ini menandakan hari pertama bulan Tamil – Chittirai. Pada tahun ini, Tahun Baru Tamil dikenali sebagai “Jaya Varusam” mengikut kalendar tamil.
Dengan salam Puthandu valthukal (ucapan tahun baru) membawa sinar kepada kehidupan semua orang. Bagi orang Tamil, Puthandu membawa maksud yang sangat bermakna dan disambut bersama ahli keluarga.
Sambutan ini disambut dengan mensajikan pelbagai juadah manis yang secara tidak langsung dipercayai akan membawa kehidupan yang gembira dan harmoni sepanjang tahun.
Sebelum sambutan kerja-kerja pembersihan rumah akan dijalankan. Kolam akan menghiasi setiap halaman rumah. Sambutan tahun baru bermula dengan upacara sembahyang.
Sebuah lampu dipanggil kuttuvilaku akan diletakkan di tengah-tengah hiasan kolam tersebut yang membawa maksud lahirnya kesinaran selepas kegelapan dihindari. Cahaya yang dinyalakan diharap akan menyinari kehidupan semua orang sepanjang tahun.
Kaum wanita seperti biasa akan sibuk untuk menyiapkan makanan. Makanan vegetarian akan dihidangkan dan daun pisang tidak ketinggalan juga. Makanan vegetarian ini akan terdiri daripada pelbagai jenis sekurang –kurangnya 5 hingga 9 jenis yang merangkumi semua rasa-manis, masam, masin.
Pelbagai rasa ini menunjukkan kehidupan seseorang adalah merangkumi pelbagai kejadian suka dan duka dan kita sentiasa harus bersikap positif dan yakin untuk menghadapinya. Semua ahli keluarga akan makan bersama dengan harapan perpaduan antara satu sama lain terjalin lebih erat dan kekal selalu.
Di kuil panjangam mengikut pelbagai Zodik akan dibacakan untuk memberi ramalan umum bagi hasil yang boleh diharapkan sepanjang tahun ini.
Secara keseluruhannya, sambutan Tahun Baru Tamil akan membawa kegembiraan dan tuah kepada semua orang di samping perpaduan serta keharmonian negara terus dipelihara. Keunikan negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sentiasa mewarnai kehidupan setiap kaum dengan pelbagai adat dan perayaan.











