39m
Salam,
Untuk edisi khas berkenaan kehamilan, aku lebih selesa untuk berbicara dan berkongsi pengalaman dalam bahasa Melayu, bahasa ibundaku. Buat para pembaca sekalian, ini adalah pertama kali aku turut serta berkongsi perihal kehamilan di alam maya. Tidak pernah sekalipun terlintas untuk mencoret cerita yang ada di sini ,namun atas sebab-sebab tertentu aku terdetik untuk mengikut serta walaupun tidak seberapa. Harapan aku agar ia bermanfaat untuk semua bakal ibu-ibu muda seperti aku dan juga tidak lupa untuk ibu-ibu veteran yang sudah pasti lagi melimpah pengalamannya.
Terlebih dahulu ingin aku jelaskan bahawa penulisan aku ini ditulis tidak mengikut fasa kehamilan yang sebetulnya. Justeru itu, kemungkinan terdapat perkongsian cerita berkisar pada awal trimester pertama dan seterusnya trimester ketiga dan mungkin akan kembali ke trimester kedua. Semuanya tergantung kepada kelapangan masa penulis serta keperluan untuk berkongsi cerita bersama.
Perkara pertama yang ingin aku kongsi ialah berkenaan “selukan”. Jujur aku katakan bahawa diseluk ialah perkara pertama yang aku paling takut dalam sejarah kehamilanku, dan antara soalan yang sentiasa aku utarakan perihal bersalin pasti akan dimulai dengan proses selukan. Mungkin kerana ini adalah kehamilan pertamaku dan untuk bakal ibu muda seperti aku, seluk dibayangkan amat menyakitkan. Noktah !
Pemeriksaan bukaan pertamaku dilakukan pada minggu ke-39 kehamilan di mana pada ketika itu aku masih lagi tiada tanda-tanda untuk bersalin dalam waktu yang terdekat. Bahkan soalan pertama yang diaju kepadaku oleh Doktor Haida yang bakal menyambut kelahiran bayiku ialah, “ kamu tak ada rasa sakit apa-apa ke sekarang?. Jawapan aku mudah, “tidak ada doktor”. Justeru itu, doktor mengambil keputusan untuk menyeluk bagi mengetahui status bukaan dan memeriksa laluan. Igauan aku selama ini menjadi nyata waktu itu namun tidak terlalu mendebarkan kerana sebelum ke hospital, aku sudah dapat menjangkakan yang kemungkinan besar akan diseluk berdasarkan minggu kandungan aku pada waktu itu, minggu ke-39.
Faktor pertama yang mengurangkan debar aku adalah doktor dan pembantunya itu sendiri. Mereka sangat berlembut dalam segala cara dan begitu juga apabila melalui proses selukan. Tidak salah pemilhan aku memilih Dr.Haida dan memilih untuk bersalin di Mahsuri Medical Centre(MMC) sedari awal. Disambungkan cerita, Dr.Haida mengarahkan aku berbaring di tempat yang disediakan untuk memulakan prosedur kenal pasti bacaan bukaan pintu rahim. Aku turuti segala arahan Dr. dengan tenang, meletakkan fikiran aku ke arah pemikiran yang positif, dan yang paling penting menjaga pernafasan agar debaran dapat dikurangkan justeru tekanan di bawah dapat dielakkan. Pendapat peribadi aku, setelah melalui proses itu, apabila kita tidak menjaga pernafasan dan memberi tekanan sekitar ari-ari(kemut), proses selukan akan menjadi amat tidak selesa atau berkemungkinan menyakitkan si ibu itu sendiri. Oleh itu, tenangkan fikiran anda, bernafas dengan betul dan rehatkan badan adalah cara yang terbaik bagi aku. Mungkin juga orang lain punyai pendapat yang berbeza.
Berlaku jujur dan usah malu. Aku luahkan kepada Dr.Haida bahawa ini adalah selukan pertamaku. Serta aku mohon kepadanya untuk berlembut dek kerana pengalaman pertama itu. Dr.Haida tidak membantah malah memahaminya. Dia bersiap sedia dangan memicit sedikit gel ke jarinya bagi melancarkan proses selukan dan memberitahu aku terlebih dahulu bahawa hanya dua jari sahaja yang akan terlibat. Aku mengangguk tanda memahami. Alhamdulillah, proses itu langsung tidak menyakitkan, malah tidak mengambil masa yang agak lama serta efisien. Aku rasa tidak lebih satu minit kerana semuanya berlaku dengan agak pantas. Kejanggalan yang mungkin ada cuma disebabkan itu pengalaman pertama, jadi aku agak tertanya-tanya dengan berapa dalam selukan jari, apa perasaannya bila jari doktor sudah berada di dalam dan adakah akan ada pendarahan selepas selukan. Alhamdulillah sekali lagi, tiada pendarahan berlaku, perasaan gemuruh terus hilang apabila jari sudah berada di dalam dan agak dalam mencucuk apabila dibandingkan dengan kemasukan zakar.
Keseluruhannya, proses ini adalah biasa bagi aku andai dihadapi dengan cara yang betul. Itu sahaja komen ikhlas daripada aku yang boleh dikatakan mempunyai tahap tahan kesakitan yang tinggi. Oleh itu, bagi bakal-bakal ibu yang belum pernah merasainya, usah berfikiran negatif berkenaan selukan sebelum anda merasainya, bersiap sedia dengan ilmu kehamilan dan sentiasa berfikiran positif di mana andai wanita-wanita lain di luar sana boleh melaluinya, anda juga pasti boleh! Tidak terkecuali!
P/s: lupa nak share yang Dr.Haida seorang yang bertubuh kecil montel, dan jari-jarinya tidaklah terlalu kurus. :D















