New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/29/harga-rumah-pr1ma-jadi-penanda-aras-baru/
Harga rumah PR1MA jadi penanda aras baru
KUALA LUMPUR, 29 Januari:
Harga projek rumah mampu milik oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan mempunyai kesan penstabil dan bertindak sebagai penanda aras, bagi pelbagai kediaman seumpamanya yang akan ditawarkan pemaju swasta lain.
Pasaran hartanah memberi tindak balas tidak lama lagi akan dan sepadan dengan harga PR1MA, iaitu 25 peratus lebih murah daripada nilai pasaran, kata Pengerusi Eksekutif Rahim and Co Chartered Surveyors Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Rahim Rahman.
“Jika rumah PR1MA hanya sekitar RM250,000, siapa yang mahu membeli rumah daripada pemaju swasta yang menetapkan harga antara 20 dan 40 peratus lebih tinggi?
“Sektor swasta tidak akan mempunyai pilihan, tetapi mengikut langkah itu dan mula menurunkan harga hampir sepadan dengan apa yang ditawarkan PR1MA,” katanya selepas mengeluarkan “Penyelidikan Rahim & Co – Kajian Pasaran Hartanah 2014/2015″, hari ini.
Rahim berkata, dengan PR1MA, akan wujud lebih banyak rumah mampu milik di pasaran dan keadaan menjadi stabil.
“Dengan PR1MA, harga rumah mampu milik tidak akan naik pada masa akan datang,” katanya sambil menambah, rakyat perlu memberi peluang kepada PR1MA, memandangkan organisasi itu masih baru.
Rahim berpendapat, julat yang sesuai bagi rumah mampu milik di Kuala Lumpur antara RM300,000 hingga RM400,000, dan julat itu perlu lebih rendah bagi kawasan lain di negara ini.
Dalam laporannya, perunding hartanah antarabangsa itu berkata, harga hartanah di Malaysia pada tahun ini, dijangka berada pada aliran meningkat di seluruh negara, walaupun pada pertumbuhan perlahan, selain pelbagai langkah untuk membendung kenaikan harga hartanah dan kos hidup yang semakin meningkat.
Mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Rahim berkata, pasaran akan terus berhati-hati dengan pembeli, penjual dan beberapa pemaju mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.
Dijangka harga hartanah akan meningkat, bukan hanya kerana GST, tetapi juga berikutan mekanisme penawaran dan permintaan pasaran.
“Bahan binaan tertakluk kepada GST, tetapi urus niaga dalam hartanah kediaman dikecualikan GST.
“Pada pendapat saya, jika terdapat kenaikan disebabkan cukai ini, ia tidak akan melebihi tiga peratus.
“Harga rumah naik secara berperingkat, baik untuk negara, tetapi perlu ada peruntukan, syarat dan penguatkuasaan undang-undang, dalam usaha menyediakan rumah untuk semua golongan, bukan hanya golongan kaya,” katanya.