“Jangan pilih lelaki yang pendek akal. Sikit-sikit gaduh, cerai. Pergh. Tak bagus.”
Saya setuju dengan kenyataan seseorang ini. Benar. Lelaki harus mempunyai akal yang panjang, dan perempuan jangan mendekati lelaki yang berakal pendek.
Tak, saya setuju bukan kerana saya ingin menunjuk pandai, mengambil hati, membodek atau mengurat si dia yang menulis kenyataan ini. Tapi saya setuju atas beberapa sebab yang kita boleh sama-sama fikir dari perspektif mawaddah warahmah.
Lelaki kan ada 9 akal 1 nafsu, sedang perempuan pula ada 1 akal dan 9 nafsu. Jadi lelaki seharusnya lebih bijak, rasional dan berhikmah dalam menangani masalah.
Imam Ghazali ada menyatakan suami yang baik adalah suami yang boleh menahan marah ketika isterinya hilang akal. Hilang akal di sini bukan bermaksud gila, sewel atau tiga suku. Tetapi hilang akal yang dimaksudkan adalah perasaan marah-marah yang tiba-tiba kerana faktor emosi, penyakit atau persekitaran. Senang cerita hilang akal ni bermaksud hilang sabar. Maka Imam Ghazali kata lagi, ketika perempuan hilang akal itulah, lelaki harus bersabar. dalam satu kitab, maaf lupa kitab apa, disebut perempuan selalu ‘hilang akal’ nya. hilang akal bukan bermaksud gila atau apa, tapi hilang pertimbangan ; marah2, mood berubah. itu memang fitrah wanita. dan lelakilah, iaitu suaminya yang dikurniakan sembilan akal sepatutnya menangani isteri dengan sabar dan memahami, bukan melulu menyalahkan isteri dan mengelaskan isteri sebagai pemarah, mood tak okay, atau sebagainya. wanita memang dicipta begitu, perasaannya kadang tak menentu. lelaki yang bertanggungjawab akan bersabar dan cuba menangani dengan rasional, bukan melulu menceraikan atau memukul atau sebagainya.
Bayangkan lelaki yang cepat marah. Isteri pulak tiba-tiba datang bulan dan berubah emosi. Nah, isteri pun mula meleter, membebel, bla bla bla…jika lelaki yang pendek akalnya, pasti akan terpengaruh dengan isteri dan naik marah juga. Sudahnya? Itu yang ada kes pukul, cerai, dan sebagainya.
Di sinilah penentuan sama ada lelaki tu panjang atau pendek akalnya. Kalau kes kecil sampai nak cerai, pukul…aduhai, lelaki jenis apakah itu? kurang sabar. Kurang iman. Bukankah sabar itu separuh daripada iman?
Jika kita lihat situasi kini, terutamanya dalam kalangan muda mudi, sifat memandang secara negatif itu berleluasa. Contohnya, orang lelaki suka menuduh orang perempuan sebagai ‘pembebel’, ‘cepat emosi’, ‘kuat naik angin’. Lelaki sebegitu maaflah kalau saya biadap, tapi saya kira lelaki sebegitu adalah lelaki yang tak berilmu. Betapa baik pun dia dalam beragama, kuat solat dan beribadah, tetapi jika dia lekas melemparkan tuduhan begitu, jelas dia bukan lelaki berakhlak. Kalau dia tak dapat jaga mulut, macam mana dia nak jaga perempuan?
Ingat, Nabi SAW sendiri pernah ditolak dadanya oleh salah seorang dari isteri baginda. Dan apa kata Nabi SAW jika isteri marah? Keluar dari rumah. Nabi SAW tak suruh pun kita lawan balik isteri kita. Umar r.a pun dileter isterinya. Nabi Yunus, dianugerahi isteri yang kuat membebel. Mereka orang beriman. Apa yang orang beriman buat? Sabar. Rasional. Berhikmah.
Lelaki dijadikan dengan kekuatan fizikal. Perempuan dijadikan dengan kekuatan jiwa. Maka hendak tangani perempuan, tanganilah dengan kejiwaan juga. Bukan dengan fizikal. Ini tidak. Isteri leter sikit, marah sikit, terus nak pukul, terus nak cerai. Tak patut, tak patut.
Syarat kedua selepas agama adalah akhlak. Akhlak yang baik adalah yang tidak mencederakan orang lain. Kalau rajin ibadah tapi asal isteri marah leter terus naik tangan, belum baik lagi akhlaknya.
Imam Jaafar pun pernah kata, jangan lihat seseorang itu beragama melalui ibadahnya, tetapi lihatlah agamanya melalui layanannya kepada orang. Jika dia serban panjang, jubah meleret, janggut seketul, dahi hitam, tapi kalau dengan isteri asyik pukul, asyik marah, asyik layan tak elok, maka belum dia dikira beragama.
Nabi SAW kata yang terbaik antara kalian adalah yang berbuat baik kepada isteri. Normal isteri membalas percakapan suami. Nabi SAW sendiri dibalas dibantah cakapnya oleh isterinya. Nabi Yunus juga begitu. Apabila dileter dan dimarah isteri, dia berkata semakin banyak isteriku menyakitiku semakin banyak pahalaku.
Ikutlah jalan para Nabi dan orang beriman. Kita ni cakap je ikut sunnah, ikut sunnah. Tapi bila datang bab-bab hubungan antara lelaki perempuan, tak pernah nak ikut pun. Tengok perempuan tu jenis marah-marah mula la mengutuk. Tengok perempuan tu berleter mula la nak mengumpat. Sedangkan itu memang lumrah wanita dijadikan sedemikian rupa. Maka lelaki yang dikurniakan banyak akal, perlu la bersabar. Perlu la banyak rasional. Fikirlah kehadapan, bukan berfikiran singkat.
Perempuan pendek akal itu normal. Lelaki pendek akal itu bahaya.
Menuntut ilmu itu wajib. Selain dari kumpul duit untuk kahwin, kumpul la ilmu untuk memimpin keluarga juga. Ada dalam kitab-kitab agama bab suami isteri. Apa salahnya pergi mengaji. Ambil ilmu tu untuk masa hadapan. Jangan ghairah kumpul harta, tapi malas kumpul ilmu. Nanti kahwin tak la menyusahkan pasangan. Moga dapat capai baiti jannati dan mawaddah warrahmah.
Agama tanpa akhlak itu sia-sia. Akhlak tanpa agama juga sia-sia. Perlu ada keduanya. Wallahualam.
(via sederhanaindah)
Sangat bijak pendapat ini 😊