Entri 14: Batu Pahat
Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pembaca sekalian. Hari ini, saya ingin bercerita tentang kampung saya, Batu Pahat, Johor.
Batu Pahat sangat signifikan kepada saya. Tempat ini merupakan tempat lahir saya dan tempat saya membesar sehinggalah saya berusia lima tahun.
Batu Pahat tidak mempunyai banyak tarikan. Namun, ada pantai di sini yang dinamakan pantai Minyak Beku. Di pantai ini, ramai orang berekreasi pada waktu petang. Walaupun begitu, pantai ini bukanlah tempat untuk bermandi-manda kerana ianya berbatu dan bukan berpasir seperti pantai lain.
Batu Pahat juga turut terkenal dengan nasi briyani. Di sini terdapat banyak kedai nasi briyani yang boleh anda lawati. Kebanyakan pilihan makanan di Batu Pahat memang enak-enak belaka serta berpatutan harganya.
Pada waktu malam kebiasaannya warga Batu Pahat akan beriadah di Dataran Penggaram (seperti gambar pertama yang tertera diatas.) Pada hujung minggu, bazar yang menjual pelbagai jenis makanan, pakaian, dan cenderamata akan dibuka. Di dataran ini jugalah kebiasaannya banyak program akan diadakan.
Jika anda ingin datang ke lokasi yang menarik untuk ditunjukkan di media sosial, anda boleh datang ke Old Street. Old Street merupakan satu lokasi di mana terletaknya banyak restoran dan kafe yang menarik seperti K-Fry, Coffee Bean & Tea Leaf dan sebagainya. Anda boleh berjalan-jalan di taman yang terletak di bumbung bangunan tersebut. Old Street ini adalah tarikan baharu yang seakan-akan tempat membeli belah ‘outdoor’ seperti Tamarind Square di Cyberjaya.
Sekian sahaja kongsian saya. Jika anda berpeluang, datanglah ke Batu Pahat!
Salam sayang,
H.














