Ada seorang teman ku bertanya, “Kamu apa khabar?”
Aku menjawab, “Aku baik-baik saja.” Sambil mengukir senyum yang bersambung dengan kata, “Tiada yang beza...”
Pulang itu, aku sendiri berfikir. Benarkah aku baik-baik saja? Banyak yang berbeza. Aku mula rindu aku yang dulu. Aku sering duduk sendiri. Aku banyak menulis, ya menulis di sini atau di nota ku. Terlalu banyak yang ingin aku kongsikan dengan yang lain. Cuma kini, aku sangat selektif. Tidak semua kisahku sampai pada mereka. Sesekali aku mengajak sesiapa yang dekat. Kadang cukup aku yang banyak mendengar, itu sudah cukup bagi aku.
Kadang aku mencari tahu, kadang aku sekadar mahu ada teman di sebelah. Tidak perlu kata-kata. Cukup semudah itu.
Kehilangan abadi temanku secara mengejut 2 tahun lepas buat aku sentiasa menghargai setiap masa yang ada bersama. Termasuk umi dan baba. Kadang, aku lebih mudah hanya duduk dengan mereka dari menceritakan apa yang aku rasa. Kerana mengetahui bahawa umi dan baba juga risau dengan keadaan aku, sudah cukup pedih buat aku. Duduk bersama mereka adalah isyarat bahawa aku baik-baik saja.
Begitu mungkin cara terbaik yang aku pilih untuk komunikasi dengan mereka.
Dan kamu, teman-temanku. Kisah kamu akan sentiasa selamat dengan aku.