New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/22/hidup-berubah-dengan-jual-beg-berjenama/
Hidup berubah dengan jual beg berjenama
KUALA LUMPUR, 22 November:
Siapa sangka keputusan melepaskan jawatan sebagai eksekutif jualan tiga tahun lalu, akhirnya memberikan hasil lumayan kepada Kenny Chong, selepas dia menceburi perniagaan beg berjenama secara dalam talian.
Chong yang nampak potensi dalam perniagaan itu, menerima pelawaan rakannya untuk melabur, seterusnya menjadikan perniagaan mereka semakin maju.
“Pembabitan saya dalam perniagaan ini membuahkan hasil lumayan berbanding kerja sebelum ini.
“Kehidupan saya sudah berubah dan keuntungan yang diperolehi juga mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Menurut Chong, dalam enam bulan pertama, perniagaan yang diusahakan bersama empat rakannya menghadapi dugaan, apabila ada pelanggan yang khuatir dengan keaslian beg berjenama yang dijual mereka.
“Kami terpaksa bekerja keras dan kini rakyat di negara ini boleh memiliki beg berjenama pada harga lebih murah dan tidak perlu takut dengan keaslian beg itu.
“Pada awalnya, kami menggunakan pelbagai laman sosial seperti Facebook dan WeChat untuk mempromosikan barangan secara meluas,” katanya.
Antara jenama beg mewah yang dipasarkannya adalah Louis Vuitton, Prada, Coach dan Gucci yang dijual pada harga berpatutan dan mampu dimiliki.
“Beg jenama Prada sering dicari pengguna, kerana perbezaan harganya boleh mencecah sehingga RM4,000.
“Louis Vuitton juga popular di kalangan pelanggan, namun perbezaan harganya bergantung kepada harga pasaran syarikat jenama itu,” katanya.
Jelasnya, beg berjenama itu diimport dari Itali menggunakan perkhidmatan kurier.
Menurutnya, pelanggan juga boleh mengunjungi kedai Chong untuk menentukan sendiri keaslian sesebuah beg itu serta mendapatkan khidmat memperbaiki beg yang rosak.