New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/22/calon-dun-chempaka-suam-kuku/
Calon DUN Chempaka 'suam kuku'
Hari ini, kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka bakal diisi melalui proses Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan menyaksikan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 20,390 pengundi berdaftar, membuang undi di sembilan buah tempat dengan 39 saluran yang disediakan bermula pagi ini.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon PAS Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad dengan empat calon bebas; Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; Sharif Mahmood, 59; Fadzillah Hussin, 55 dan Aslah Mamat, 64.
Meskipun lima calon ini bakal berentap namun kempen yang dicanang selama 11 hari tempoh berkempen, tidaklah sehebat yang disangka.
Penganalisis politik, Prof Madya Ahmad Atory Hussain menyifatkan suasana kempen yang kurang meriah itu mungkin didorong oleh faktor ketiadaan calon daripada Barisan Nasional.
Berbeza pandangan dengan penganalisis politik, Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat ia mungkin disebabkan oleh faktor kawasan.
Katanya, DUN Chempaka merupakan kubu kuat PAS yang ditinggalkan oleh ikon Ulamanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan calonnya, Ahmad Fathan Mahmood yang diletakkan di situ, dijangka akan menang mudah.
Ahmad Fathan juga dilihat lebih selesa menggunakan senjata ‘menyambung kepimpinan yang ditinggalkan Tuan Guru’ daripada mencari visi dirinya sendiri yang lebih dinamik untuk menarik hati pengundi.
Maka, mungkin strategi berkempen dari rumah ke rumah yang diteruskan dengan bantuan sayap muslimat PAS, dianggap sudah memadai.
Namun, beliau tetap juga mengadakan beberapa ceramah yang menampilkan pemimpin tinggi parti itu antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa, namun sesi ceramah ini masih kurang agresif dan menyengat berbanding kempen ceramah ketika PRK kawasan lain atau pilihan raya umum.
Buat kali terakhir bagi memancing undi, program Munajat Perdana serta kuliah Subuh yang bakal diketuali oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, anjuran Dewan Ulama PAS Kelantan akan diadakan sebagai persediaan terakhir menghadapi PRK.
Ketiadaan jentera besar bagi membantu proses berkempen, menyebabkan calon bebas, Aslah Mamat lebih cenderung bergerak secara solo.
Aslah yang merupakan seorang ahli perniagaan pernah berkata beliau tidak mempunyai jentera kempen untuk membantunya tetapi hanya mengharapkan manifestonya iaitu “Mari Berpakat” untuk memancing undi.
Mempunyai pandangan berbeza dengan calon lain, Aslah yang sebelum ini merupakan ahli PAS selama lebih 20 tahun, hanya dua kali sahaja mengadakan ceramah sepanjang 11 hari kempen berjalan.
Sebagai pemerhati, mungkin kita menjangkakan bahawa bekas calon PRK Pengkalan Kubor, Izat Bukhary Ismail Bukhary akan bertindak agresif dalam berkempen kerana beliau mempunyai pengalaman bertanding sebelum ini.
Namun, Izat Bukhary yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (dengan hanya mendapat 65 undi) sepatutnya belajar dari kesilapan dan bertindak lebih tersusun dalam berkempen supaya tidak hilang lagi wang pertaruhan.
Sebaliknya, calon bebas yang menggunakan lambang pen ini, lebih selesa bergerak secara kumpulan kecil.
Unik dan agak luar biasa, itulah yang boleh disimpulkan dengan kempen oleh satu-satunya calon wanita, Fadzillah Hussain.
Fadzillah yang sebelum dipecat keahliannya oleh UMNO mencari kelainan dalam memancing pengundi iaitu dengan menaiki lori yang dihiasi kain kuning dan berarak dengan lagu ‘Che Siti Wan Kembang’ melalui pembesar suara mengelilingi setiap ceruk kawasan DUN Chempaka.
Ia lebih kepada suatu ‘pesta’ kepada Pengerusi Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang ini dan bukan untuk meraih undi secara serius. Apatah lagi, beliau pernah berkata bahawa PRK ini hanyalah untuk beliau mencari keturunan Che Siti Wan Kembang dan yakin perarakan lori berhias mampu mencapai objektifnya.
Mungkin yang agak agresif dan serius untuk memenangi PRK DUN Chempaka esok adalah calon bebas Sharif Mahmood yang sering dilihat mengedarkan poster kepada pengundi di kawasan itu dan aktif menggunakan platform ceramah sebagai senjata kempennya.
Malah, selain daripada beliau yang memberi ceramah, Sharif turut menjemput Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali sebagai penceramah slot utama dalam ceramahnya.
Kempen beliau lebih kepada bermotifkan untuk menekankan amalan demokrasi, dan bagi Sharif pembabitannya merebut kerusi DUN Chempaka adalah untuk memberi pilihan kepada pengundi kawasan berkenaan menerusi undi, iaitu satu amalan demokrasi dan hak rakyat Malaysia.
Ia juga susulan pengumuman Barisan Nasional untuk tidak meletakkan calon dan memberi peluang mudah kepada PAS untuk memenangi kerusi berkenaan.
Secara keseluruhannya, kesemua calon DUN Chempaka tidak menunjukkan keghairan dalam berkempen bagi memenangi hati pengundi kawasan berkenaan.
Sama ada ia disebabkan kubu kuat PAS atau pengundi sendiri sudah membuat pilihan mereka masing-masing, tempoh berkempen di DUN Chempaka, sunyi dan sepi sehingga tiada amalan perang poster ataupun perang bendera.