New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/22/rumusan-peratusan-keluar-mengundi-rendah-di-chempaka/
Rumusan peratusan keluar mengundi rendah di Chempaka
TAK kisahlah sekalipun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, ia tidak bermakna PAS tewas atau telah kehilangan sokongan tradisi di Chempaka dengan kematian ikon parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih dari dua dekad sebelum kematiannya bulan lalu.
Senario ini hanya berlaku pada pilihan raya kecil (PRK) di mana Barisan Nasional (BN) tidak bertanding, terutamanya jika ia berlangsung di kawasan di mana kekuatan parti lawan BN memang tidak boleh dinafikan.
Ambil contoh kes Bukit Gelugor, kubu kuat DAP; PRK yang diadakan pada bulan Mei tahun lalu untuk menggantikan mendiang Karpal Singh, seorang pemimpin kanan DAP, menyaksikan hanya 56.05 peratus keluar mengundi.
Pada 2009, PRK di kubu Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Penanti, menyaksikan jumlah keluar mengundi yang jauh lebih rendah – 46.1 peratus.
Peratus keluar mengundi di Chempaka adalah 55 peratus, jauh daripada 70 peratus yang dijangkakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga 85 peratus yang dicatatkan pada pilihan raya umum ke 13 (PRU-13) yang lalu.
DUN Chempaka, yang telah berada di bawah cengkaman PAS sejak 25 tahun lalu, dengan wakil rakyatnya tidak lain dan tidak bukan tokoh paling disegani, bekas menteri besar Kelantan serta Musryidul Am PAS, terbukti mudah dipertahankan partu itu.
Malah PAS kekal menguasai kerusi itu dengan majoriti lebih tinggi berbanding yang diraih pada PRU-13, apabila calonnya Ahmad Fathan Mahmood@Muhammad memperolehi 10,899 undi, menang bergaya dengan majoriti 10,092 undi dalam pertandingan empat lawan satu.
Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada 6,500 majoriti yang diraih Allahyarham Nik Aziz pada PRU-13.
Nik Aziz memperolehi 12,310 undi menundukkan calon BN Wan Razman Wan Abdul Razak yang diberikan 5,810 undi.
Sebab paling munasabah yang menyumbang kepada peratus keluar mengundi yang rendah barangkali adalah Ahmad Fathan sudah dijangka pasti menang sejak hari pertama lagi.
Sebab itu jugalah kemungkinan besar ramai dari kalangan 1,800 pengundi yang tidak bemukim di DUN Chempaka tidak pulang mengundi kerana mereka yakin PAS akan kekal di kerusi tradisi itu.
Turut menjadi faktor penyumbang ialah ahli UMNO dipercayai tidak keluar mengundi memandangkan BN yang biasanya meletakkan calon dari parti itu tidak bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof sendiri merumuskan situasi yang berlaku di Chempaka berpunca daripada perkara pengundi luar.’
“Pada pandangan SPR, ini berpunca daripada keputusan pengundi yang tidak mahu membuang undi hari ini, serta pengundi yang tinggal di luar Chempaka yang memutuskan untuk tidak pulang mengundi,” katanya.
Ahmad Fathan juga terpaksa berkongsi undi dengan empat calon bebas yang bertanding, walaupun pencapaian mereka amat buruk.
Dari kalangan mereka, hanya Sharif Mahmood, yang pernah memegang jawatan dalam UMNO serta badan bukan kerajaan (NGO) PERKASA menraih jumlah undi agak banyak iaitu 807.
Undi yang beliau perolehi itu kemungkinan besar disumbangkan oleh ahli dan penyokong UMNO yang merupakan sebahagian daripada 21,890 pengundi berdaftar di Chempaka.
Tidak ada sebarang arahan daripada BN mahupun UMNO untuk ahli atau penyokongnya mengundi beliau seperti yang dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; namun nampaknya ada sebahagian yang memangkah Sharif pada kertas undi.
Ahmad Fathan juga mungkin mmeraih sebahagian undi disebabkan populariti beliau sebagai tokoh agama di kawasan itu.
Calon wanita tunggal, Fadzillah Hussin hanya berjaya meraih 89 undi, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 51 undi dan Aslah Mamat, 27 undi.
Terdapat 140 undi rosak – barangkali disumbangkan mereka yang kurang bertanggungjawab.
Pengundi Malaysia, tanpa mengira di bandar mahupun desa, adalah matang dan faham sepenuhnya kuasa satu undi dalam proses demokrasi bagi menentukan wakil mereka di Parlimen mahupun DUN.
Ahmad Fathan tahu hakikat bahawa beliau akan menangi persaingan kali ini walaupun ditentang empat pencabar memandangkan hanya beliau yang mempunyai platform rasmi untuk memperjuangkan hak penduduk Chempaka.
Imam di Masjid Kamoung Baung, beliau adalah seorang ustaz yang dikenali, yang menyampaikan kuliah agama di beberapa buah masjid dan madrasah di Pengkalan Chepa.
Cuma ADUN Chempaka yang baru dipilih ini mungkin tidak sedar bahawa kepada beliau kini tersandar harapan yang menggunung tinggi kerana beliau telah secara rasmi mengambil alih tempat yang dikosongkan seorang tokoh seperti Allahyarham Nik Aziz.
Beliau telah berjanji sebelum pilihan raya untuk meneruskan kerja-kerja pendahulunya, dari segi perkhidmatan kepada masyarakat, pengetahuan agama dan menggalakkan kebajikan rakyat.
Rakyat di Chempaka boleh menaruh keyakinan bahawa pemimpin yang warak seperti beliau lebih berkemungkinan untuk mengotakan janjinya berbanding mengkhianati.









