New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/22/ekuinoks-tidak-jadikan-cuaca-panas-melampau-jabatan-metereologi/
Ekuinoks tidak jadikan cuaca panas melampau - Jabatan Metereologi
KUALA LUMPUR, 22 Februari :
Fenomena Ekuinoks yang dijangka berlaku di negara ini mulai minggu depan tidak akan membawa kepada perubahan cuaca melampau, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.
Beliau berkata situasi itu hanya akan menjurus kepada peningkatan suhu antara satu atau dua darjah Celcius.
“Ini masih dikira normal dan tidak akan memberi kesan besar secara keseluruhan,” katanya.
Menurutnya, ini merupakan fenomena biasa kerana Ekuinoks berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada Mac dan September ketika matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa, lokasi di mana negara ini berada.
“Ekuinoks tidak beri kesan besar terhadap suhu kerana perubahan suhu banyak dipengaruhi faktor seperti pergerakan angin, hujan dan lain-lain lagi,” katanya dilaporkan agensi berita Bernama.
Suhu di Malaysia ketika ini ialah sekitar 33 hingga 35 darjah Celcius.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (AWER), S. Piarapakaran berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) perlu memantau dengan lebih teliti paras air empangan terutama Empangan Sungai Selangor.
Menurutnya, amaran paras air empangan kritikal perlu dinaikkan daripada kadar 30 peratus sekarang kepada 50 peratus.
Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus air ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
“Sekiranya paras kritikal ialah 50 peratus, sekurang-kurangnya tindakan drastik boleh diambil dengan cepat dalam memulihkan kembali paras air empangan,” katanya.
Beberapa media hari ini melaporkan paras air di empangan Selangor menurun berikutan bermulanya musim kemarau, sehingga membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan catuan air bakal berulang di Lembah Klang seperti yang berlaku tahun lalu, sekiranya keadaan bertambah buruk dalam beberapa bulan akan datang.
Paras air Empangan Sungai Selangor sebelum ini dilaporkan meningkat dari September tahun lalu sehingga ke paras kemuncak 81.96 peratus 2 Februari lalu.
Bagaimanapun paras itu terus menyusut sejak itu dan mencatat 78.93 peratus pada Sabtu.
Paras air di empat lagi empangan di Selangor turut dilaporkan menyusut sejak 2 Februari.
Empangan tersebut ialah Klang Gates, Langat dan Batu, di mana kesemuanya mencatatkan paras air 100 peratus pada 6 Disember tahun lalu tetapi bacaan setakat Sabtu, masing-masing mencatatkan 90.3 peratus, 98.06 peratus dan 93.1 peratus.