New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/07/07/cadangan-pembinaan-jeti-untuk-pengkalan-ranggon
Cadangan pembinaan jeti untuk Pengkalan Ranggon
Pemandu bot di Pengkalan Ranggon memohon pembinaan sebuah jeti kecil untuk kemudahan orang ramai, khasnya bagi memudahkan pelancong menaiki bot ke Sungai Kerteh untuk memerhatikan kelip-kelip.
Hasyim @ Hussin Muda, 56 tahun, yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan ecoCare serta nelayan sejak 30 tahun lalu berkata, jeti itu amat diperlukan bagi memudahkan pemindahan pelancong dari darat ke bot, sebelum mereka boleh keluar ke Sungai Kerteh untuk melihat kelip-kelip.
“Dengan adanya jeti itu, pengunjung tidak akan hadapi masalah naik bot. Ia juga untuk kemudahan orang kampung dan nelayan keluar mencari rezeki di Sungai Kerteh.” katanya kepada The Rakyat Post, baru-baru ini.
Hussin berkata, dengan adanya sebuah jeti kecil, ia akan memudahkan penduduk setempat serta nelayan keluar mencari rezeki di Sungai Kerteh.
Jelasnya, perjalanan bot dari Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare (EEC) ke Pengkalan Ranggon di Sungai Kerteh amat berisiko tinggi pada waktu malam, disebabkan keadaan sekeliling yang gelap, selain ia memakan masa 45 minit sehingga sejam.
Selain itu, tambahnya, kos bahan api juga mahal, iaitu kira-kira RM30 untuk satu perjalanan pergi balik.
Tetapi, jelasnya, jika pelawat bertolak dari EEC dengan bas, mereka hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke Pengkalan Ranggon.
“Idea untuk membina sebuah jeti kecil yang lebarnya dua meter dengan panjang lima meter sudah lama ada,” katanya yang mula menyertai projek ecoCare sejak 2005.
Bagaimanapun, jelasnya, mereka perlu berbincang dan meminta kebenaran daripada ketua kampung di Pengkalan Ranggon terlebih dahulu, memandangkan kawasan itu terletak di dalam kampung mereka.
Selain memerhatikan kelip-kelip, EEC turut menawarkan aktiviti pemerhatian burung, penerokaan paya bakau, penanaman semula bakau, pengumpulan serta penyemaian bakau kepada orang ramai.