New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/10/imbasan-dun-selangor-ke-13/
Imbasan DUN Selangor ke-13
Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 menyaksikan kelulusan penyata Enakmen Kebebasan Maklumat serta beberapa isu besar lain diperdebatkan, antaranya penstrukturan semula air, isu pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Penasihat Ekonomi Selangor.
DUN Selangor bertindak meluluskan penyata berkaitan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011, selepas pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), pada 27 Januari lalu.
Penyata berkenaan mewajibkan semua kontrak membabitkan kerajaan negeri dan pihak ketiga ditandatangani, supaya kandungan perjanjian boleh didedahkan tanpa mendapat persetujuan pihak ketiga.
Speaker DUN, Hannah Yeoh berkata, kelulusan penyata enakmen itu dianggap undang-undang kerajaan negeri yang perlu dipatuhi, bagi menjaga perjanjian dengan pihak ketiga yang membolehkan klausa tertentu didedahkan, jika diperlukan.
Setiap perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri Selangor perlu memasukkan klausa Enakmen Kebebasan Maklumat, di mana jika terdapat kepentingan awam, iaitu orang awam perlu tahu mengenai perkara ini.
Maka, status dokumen berperingkat perjanjian boleh diubah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dimaklumkan kepada orang awam, tanpa mendapat persetujuan pihak ketiga terlebih dahulu.
Isu penstrukturan semula industri air Selangor menjadi topik hangat dibincangkan dalam sidang berkenaan yang bermula 30 Mac lalu.
Keputusan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membatalkan perjanjian itu, disifatkan sesetengah ahli dewan sebagai tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang menggesa Kerajaan Negeri Selangor meneruskan perbincangan perjanjian penstrukturan semula industri air bersama Kerajaan Persekutuan dalam usulnya untuk dibahas dalam dewan.
Namun, Mohamed Azmin menjelaskan, keputusan itu dibuat, kerana Kerajaan Persekutuan telah melanggar syarat yang terkandung dalam Perjanjian Utama yang ditandatangani 12 September lalu.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin optimis berjumpa dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi menyelesaikan segera kemelut penstrukturan semua industri air di negeri itu.
Dalam bahas terakhir persidangan DUN, usul ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang menggesa kerajaan negeri memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembinaan Kidex, tidak dipersetujui ahli dewan.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri tidak akan berganjak daripada pendirian sebelum ini, iaitu membatalkan pembinaan lebuhraya itu.
Katanya, keputusan itu diambil, selepas mengambil kira bantahan dan pertimbangan lain, termasuk kemajuan impak lalu lintas, alam sekitar dan kos pembinaan.
Selain isu air, jawatan Penasihat Ekonomi Selangor yang kini dipegang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipersoalkan kewajaran negeri tidak melantik individu lain, bagi menggantikan Anwar.
Kewajaran itu diragui sesetengah ahli dewan, berdasarkan keadaan Anwar yang kini dipenjarakan dan agak mustahil untuk dia menjalankan tugasnya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar memohon usul mengutuk pendakwaan bermotifkan politik terhadap Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor yang dianggap satu tindakan tidak berasaskan prinsip demokrasi.
Usul itu turut dipersetujui 43 ahli dewan yang mendokong kepimpinan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Namun, kata Mohamed Azmin, perkara itu bukan isu besar, kerana beliau masih boleh merujuk kepada Anwar yang kini meringkuk dalam penjara dan atas sebab itu, beliau masih mengekalkan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.