New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/06/makanan-mahal-sebab-kos-bahan-mentah-tinggi/
Makanan mahal sebab kos bahan mentah tinggi
KUALA LUMPUR, 6 Februari:
Pengeluar dan pengedar digesa menurunkan harga bahan mentah selari dengan penurunan harga petrol yang diumumkan kerajaan awal bulan ini.
Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata restoran mamak di negara ini sukar menurunkan harga di restoran mereka susulan pengeluar dan pengedar menjual barang mentah dengan harga yang tinggi.
“Saya ada berbincang dengan restoran mamak. Mereka kata mereka tidak mampu buat apa-apa kerana harga bahan mentah daripada pengedar dan pengeluar masih sama.
“Kalau pengeluar dan pengedar dapat turunkan harga, kami tidak ada masalah juga untuk turunkan harga,” katanya dalam sidang media hari ini.
Syed Ibrahim berkata demikian ketika mengulas sokongan terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung boikot peniaga Cina yang tidak menurunkan harga barangan walaupun bahan api telah diturunkan.
Katanya, memandangkan wujudnya monopoli penjualan bahan mentah menyebabkan pengusaha restoran mamak tidak dapat membeli daripada pengedar lain malah terpaksa membeli daripada pengedar yang sama.
“Ada pengedar yang memonopoli penjualan bahan mentah. Mahu tidak mahu, pengusaha restoran mamak terpaksa membeli daripada mereka juga.
“Nak beli daripada pengeluar teruspun susah kerana mereka (pengeluar) terikat kontrak dengan pengedar. Ada juga pengeluar yang tidak mahu jual kepada orang lain dan berpakat dengan pengedar itu,” katanya sambil menjelaskan perlunya wujud persaingan dalam pasaran untuk mengelakkan monopoli daripada terus berlaku.
Syed Ibrahim juga berkata, monopoli yang berlaku ini menyebabkan harga barangan tidak turun malah terus meningkat walaupun harga minyak sudah turun.
“Kami juga sedang usahakan Yakin Halal Mart. Kami sendiri akan menjadi pengedar barangan makanan seperti ayam, sayur, beras dan sebagainya untuk elakkan monopoli.
“Bahan mentah akan kita ambil dari pengeluar Muslim dan kita akan bungkuskan semula sebelum dijual dengan harga berpatutan tidak seperti pengedar lain,” katanya.
Katanya, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan mengenai Yakin Halal Mart tersebut.
“Setakat ini, sebanyak 10 mart akan dibuka di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dalam tempoh tiga bulan akan datang. Kami sasarkan 300 mart di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.