New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/18/pemadam-keluar-fatwa-haramkan-ketum/
Pemadam: Keluar fatwa haramkan ketum
JITRA, 18 Oktober:
Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan daun dan air ketum di negara ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata air dan daun ketum boleh memudaratkan kesihatan individu yang mengambilnya secara berlebihan dan berterusan.
Mohd Johari berkata, pihaknya bimbang dengan penyalahgunaan ketum yang kini menular di kalangan pelajar sekolah yang menjadikan air ketum sebagai minuman harian, malah turut dibawa ke sekolah.
“Penyalahgunaan ketum amat serius. Dahulu, di utara Semenanjung sahaja, tetapi kini ia telah merebak ke Terengganu, Perak dan Pahang.
“Saya terima aduan, ada nelayan di Pahang minum air ketum sebelum ke laut,” katanya pada majlis penutup seminar Penyalahgunaan Ketum: Pembunuh Senyap Anak Bangsa, di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, pada Sabtu.
Mohd Johari berkata, Pemadam juga berharap Jabatan Peguam Negara akan menyegerakan proses mewartakan penyalahgunaan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana ketum mengancam keselamatan rakyat.
“Saya merayu kepada kerajaan agar mempercepatkan rang undang-undang berkaitan ketum ini, supaya tindakan boleh diambil terhadap pengusaha tanaman ketum yang merosakkan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu meminta Kerajaan Negeri Kedah menggubal undang-undang tanah, bagi mengharamkan penanaman tanaman memudaratkan seperti ketum.
“Kerajaan negeri berhak merampas tanah pengusaha ketum, sekiranya melanggar undang-undang yang ditetapkan dan berhak memusnahkan pokok ketum yang ditanam.
“Di Thailand, pihak berkuasa akan tebang pokok ketum, selain mengenakan denda 500 baht (RM50.52) bagi sehelai daun ketum,” katanya.











