New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/13/petisyen-kepada-rumah-putih-ibarat-undangan-menjajah-secara-terhormat/
Petisyen kepada Rumah Putih, ibarat undangan menjajah secara terhormat
Petisyen kepada Rumah Putih yang meminta Washington membantu membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan atas kesalahan jenayah dianggap tidak wajar, berbahaya dan berisiko menjejaskan kedaulatan negara.
Ia dirumuskan beberapa pemerhati, ahli akademik serta penganalisis politik kepada The Rakyat Post, tindakan itu seolah-olah “mengundang penjajahan secara terhormat.”
Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian ketika dihubungi berkata, petisyen kepada Rumah Putih itu boleh membahayakan kedaulatan Malaysia, yang mungkin terpaksa terus-menerus merujuk kepada negara itu dalam semua perkara.
“Sekali mereka meminta bantuan luar, ia akan dianggap seolah memberi lampu hijau untuk negara itu berterusan masuk campur urusan negara lain,” Sivamurugan memberi peringatan.
Jelasnya, ia juga seolah-olah menunjukkan kepada dunia, Malaysia tidak mengamalkan sistem perundangan dan kehakiman yang telus.
“Negara kita berdaulat dan mempunyai sistem perundangan tersendiri yang tidak memerlukan campur tangan asing.
“Jika perkara (petisyen) itu berlaku (diambil tindakan), ia akan membolehkan Rumah Putih masuk campur dalam urusan dalaman negara lain.
“Rumah Putih akan memandang gesaan itu sebagai satu jalan untuk masuk campur urusan dalaman negara lain, akibatnya akan menghuru-harakan keadaan,” jelasnya.
Pakar perundangan antarabangsa yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salawati Mat Basir pula berkata, perbuatan cuba memfailkan petisyen itu, sebenarnya menjatuhkan maruah negara dan mempunyai unsur-unsur menghasut negara luar untuk memandang Malaysia sebagai negara yang tidak menegakkan keadilan.
“Memanggil kuasa luar untuk masuk campur dalam urusan negara sangat tidak wajar, kerana perbuatan itu seperti memperlekehkan perundangan negara ini.
“Kes Anwar itu tidak patut dipanjangkan, kerana mahkamah tertinggi Malaysia melalui panel lima hakim, telah sebulat suara mendapati Anwar bersalah dan perlu menjalani hukuman penjara,” katanya kepada The Rakyat Post.
Salawati menyifatkan tindakan menghantar petisyen kepada Rumah Putih itu sebagai mendedahkan kebodohan diri mereka yang memfailkannya kepada negara luar, kerana sanggup memperjudikan masa depan negara, hanya untuk melepaskan seorang individu yang telah disabitkan kesalahan.
“Negara kita bukan merdeka baru setahun dua, tetapi sudah berpuluh tahun. Rakyat sepatutnya berfikiran lebih matang dalam membuat keputusan, supaya tidak menjerumuskan negara ke kancah kemusnahan.
“Malaysia mempunyai perlembagaan dan sistem kehakiman negara ini juga merupakan sebuah badan yang terasing daripada sebarang pengaruh.
“Itu sudah cukup untuk membuktikan, kita tidak memerlukan sebarang campur tangan luar dalam sebarang urusan dalaman negara,” tegas Salawati.
Penulis prolifik dan juga Pensyarah Kanan Penulisan, Komunikasi Politik dan Sejarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Jeniri Amir pula berkata, petisyen memohon bantuan Rumah Putih, bagi membebaskan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh menimbulkan ketegangan antarabangsa, kerana membabitkan kuasa besar dunia.
“Saya berpendapat, pihak yang menghantar petisyen itu tidak mengambil berat masa depan negara yang melibatkan berjuta-juta rakyat, demi membebaskan seorang pemimpin kesayangan mereka.
“Mungkin juga pihak yang menghantar petisyen itu sudah buntu, kerana pembangkang ketiadaan pemimpin yang boleh menyatukan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang kini dilihat tidak bersatu,” Jeniri membuat telahan.
Oleh itu, katanya, mereka mengharapkan bantuan Amerika Syarikat untuk menjadi faktor parti-parti dalam PR terus bersatu, sementara Anwar dapat dibebaskan, kerana hanya Anwar yang mempunyai keupayaan untuk menyatukan PR.
“Pembangkang sudah menganjurkan perhimpunan #KitaLawan, sebagai petisyen pada peringkat kebangsaan dan juga menghantar petisyen ke Rumah Putih, sebagai langkah membebaskan Anwar pada peringkat antarabangsa.
“Namun, perkara itu (usaha pembebasan Anwar) tidak boleh dijadikan alasan, kerana ia memberi implikasi besar kepada kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan dan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, petisyen memohon bantuan kuasa luar adalah sesuatu yang amat tidak adil untuk mahkamah Malaysia.
Ini kerana, kata Shamrahayu, keputusan mahkamah harus diterima semua pihak, memandangkan sistem pentadbiran negara ini adalah berdasarkan perlembagaan.
“Saya fikir, sistem pentadbiran keadilan di Malaysia telah diiktiraf undang-undang negara.
“Apa jua keputusan mahkamah adalah sistem berdaulat yang menunjukkan kedaulatan negara yang merdeka.
“Tidak wajar bagi pihak lain membuat permohonan kepada kuasa negara luar. Ia adalah sesuatu yang tidak adil untuk mahkamah Malaysia yang bertindak mengikut perlembagaan,” katanya.