New Post has been published on
New Post has been published on http://malaysianreview.com/142175/bersih-4-dari-rumah-putih-ke-downing-street/
Bersih 4, dari Rumah Putih ke Downing Street
Di Washington DC, Amerika Syarikat, sekumpulan kecil berkumpul di Pennsylvania Avenue, di hadapan Rumah Putih semalam, menyatakan pendirian mereka. – Gambar Facebook, 30 Ogos, 2015.
Ketika Bersih 4 memasuki hari kedua hari ini, ucapan, gambar dan video daripada peserta dari seluruh dunia terus dikongsi di media sosial.
Walaupun ‘perhimpunan’ Bersih 4 antarabangsa lebih singkat daripada perhimpunan 34 jam di tanah air yang diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu, peserta luar negara tidak kurang terujanya mempamerkan sokongan mereka.
Di Washington DC, ibu negara Amerika Syarikat, yang waktu tempatannya lewat 12 jam dari waktu Malaysia, sekumpulan kecil berkumpul di Pennsylvania Avenue, di hadapan Rumah Putih semalam, menyatakan pendirian mereka.
Dengan memakai kemeja-T kuning Bersih dan memegang Jalur Gemilang, mereka memegang sepanduk yang berbunyi “Rakyat Malaysia menuntut pilihan raya bersih. Bersih 4 Washington DC.”
Detik itu dikongsi melalui beberapa gambar di laman Twitter beberapa jam yang lalu.
Bersih 3 Houston juga memuatnaik gambar rakyat Malaysia berdiri dalam solidariti dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang lain dari Texan City.
“Bersih 4 Houston merekodkan kehadiran 233 orang #Bersih4 #GlobalBersih #Bersih4Houston,” menurut satu tweet di akaun Bersih3 Houston.
Di London, peserta perhimpunan Bersih 4 di situ melaporkan keadaan berjalan lancar walaupun hujan turun ketika orang ramai berkumpul di sekeliling Bridge Street, yang menampakkan ikon Big Ben di latarbelakang gambar mereka, sambil berjalan menuju Downing Street, di mana terletaknya kediaman rasmi dan pejabat Perdana Menteri Britain.
Aktivis terkenal dan anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Paduka Marina, yang berada di London dan mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut menulis tweet “#Bersih4 #BersihLondon was a blast!”
Di Helsinki, ibu negara Finland, 35 rakyat Malaysia turut mengadakan demonstrasi Bersih 4 mereka sendiri yang berlangsung selama dua jam setengah.
Dalam e-mel kepada The Malaysian Insider, Komuniti Bersih di Helsinki berkata, mereka bimbang tentang rakyat Malaysia di tanah air, yang mengambil risiko turun ke jalanan, dan mahu menunjukkan sokongan.
“Sebagai rakyat Malaysia di luar negara, kami amat bimbang dengan nasib mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 4 di tanah air, yang mungkin berdepan tangkapan dan keganasan.
“Kami mahu menunjukkan sokongan dan solidariti kami terhadap rakan dan keluarga, yang berjuang untuk reformasi demokratik.
“Kedua, kami rasa keadaan politik semasa di Malaysia adalah satu penyelewengan kuasa yang besar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan kerajaannya.
“Kami tidak puas hati dengan skandal rasuah, kekurangan akauntabiliti dan ekonomi yang semakin teruk,” kata kumpulan itu dalam e-mel itu, sambil menambah ini merupakan kali kedua Helsinki menyertai perhimpunan Bersih selepas Bersih 3 pada 2012.
Di Korea Selatan, kira-kira 70 rakyat Malaysia berkumpul di Busan hari ini dalam usaha mereka untuk membantu “menyelamatkan Malaysia”.
“Kami berjuang untuk Malaysia, negara yang kita cintai, walaupun dari jauh. Selamatkan Malaysia!
“Lebih daripada 65 orang menghadiri perhimpunan Bersih di Busan. Ramai yang datang dari jauh – (seperti) Seoul (450km jauhnya), Ulsan, Geoje, Jinji, Gwangju, Daegu, membuat tuntutan Bersih 4,” kata Bersih Busan dalam e-mel kepada The Malaysian Insider awal pagi ini.
Bersih 4 dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya, tadbir urus, kebebasan untuk membantah, demokrasi berparlimen dan ekonomi.
Ia berlangsung ketika Najib berdepan saat getir mempertahankan jawatannya akibat skandal 1Malaysia Development Berhad dan kontroversi derma RM2.6 bilion dari Timur Tengah. – TMI
Plunked your butt down in a chair, rifled out some thoughts on your trusty keyboard ★ Now you know don’t say thank!