Merah Jambu dan Pengajarannya.
Sebentar tadi saya membeli tetikus baru. Buat memudahkan urusan kerja pejabat dan kerja lainnya kerana tetikus lama sudah tidak sesensitif dahulu. Sudah lama barangkali. Sejak dua menjak ini, saya selalu menyesal membeli barang yang murah, kemudian tidak enak dipakai. Maka, saya sering ingatkan diri saya - ah, biar alah membeli, menang memakai !
Saya buka aplikasi Shoppe, dan saya mula mencari tetikus yang sesuai. Bagi saya biarlah berkualiti. Kemudian terfikir - alang-alang beli lah yang saya suka melihatnya juga. Maka berjumpa lah saya dengan tetikus berwarna merah jambu. Add to cart . Check out. Selesai.
Selepas membeli, saya teringat untuk menghantar mesej kepada seorang rakan saya apabila tetikus itu sampai nanti. Rakan saya itu obses sekali dengan warna merah jambu. Siapa yg mengenali dan mengikuti rapat rakan saya ini, pasti tahu, sebut sahaja nama dia, semestinya - PINK! Dan begitulah kami berdua menggelarkan kami "Geng Pink", sejak dari sekolah mungkin. Saya sendiri tidak tahu bila kami memberi gelaran itu.
Tapi, saya ini dahulu tidak tunjuk sangat minat saya kepada merah jambu. Segan rasanya. Iyalah, rakan saya itu tak mengapalah, orang cantik, ayu, santun budinya. Nak dibandingkan dengan saya? Barangkali respon orang - Izzati suka pink? Seriusla? - Seingat saya, pernah saya dapat respon sebegitu. Yang kenal saya, mungkin juga pelik jika mereka tahu saya sangat suka kan merah jambu. Iya, warna yang selalu disinonimkan dengan segala sifat keperempuanan.
Tapi apabila saya terniat untuk menghubungi rakan saya tadi kerana warna yg kami minati ini, saya sedar satu perkara. Mendewasa mengajarkan saya satu hal yg sangat besar.
Iaitu, kehidupan kita ini pilihan kita. Dan pilihan kita tidak perlu pun terikat dengan apa kata orang yg masing-masing punya cara interpretasi nya yang tersendiri.
Teringat saya akan iklan Sunsilk berwarna merah jambu di kaca TV semalam. "Merah jambu tentang comel dan cantik sahaja? (Dan sambung iklan..) Merah jambu itu aktif, kuat ..(dan berbagai kata positif yang lain) " - kurang lebih begitulah iklannya.
Benar kawan-kawan, pilihan hidup ini mungkin perlu dipandu. Tetapi jangan lah kita memilih untuk dipandu dengan cara yg salah. Hidup kita bukan untuk memuaskan hidup orang lain. Manusia di sekeliling kita ini tak akan berhenti bercakap dan "membantu" membuat pilihan walaupun tanpa diminta.
Berpeganglah kepada kata hati yang jujur. Dan sering lah bertanya kepada diri tentang "kenapa" kita melalukan sesuatu. Jika sesuatu itu tidak salah dan tidak menganggu hidup orang lain, pilih lah ia untuk kepuasan diri kita. Seperti merah jambu tadi. Orang mungkin kata warna itu tidak sesuai dengan saya. Tapi mengapa perlu saya kisah? Selagi saya bahagia. Tidak ada salahnya tentang membahagiakan diri sendiri.
Begitulah warna merah jambu mengajarkan saya. Dan saya baru tersedar itu sebentar tadi. Dan ya, Umi saya suka merah jambu. Tapi umi saya lebih rasional agaknya. Saya ini, asal baju, tudung dan semua barang, nampaknya merah jambu sahaja. Susah nak nampak warna lain itu lebih cantik. Haih.



















