New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/11/rehda-puji-skim-perumahan-belia/
REHDA puji skim perumahan belia
KUALA LUMPUR, 11 Oktober :
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) memuji tindakan kerajaan menyediakan skim perumahan untuk golongan belia dengan membabitkan perkongsian pintar antara Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat pemaju Cagamas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata, skim ini pasti memberi faedah kepada pasangan muda untuk memiliki rumah mampu milik.
“Selain daripada 10% jaminan pinjaman bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh termasuk kos insurans untuk RM200 ribu, ia akan dapat membantu meringankan beban peminjam terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar yang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi,” ujarnya.
REHDA juga menghargai usaha kerajaan untuk menaikkan siling bagi pendapatan isi rumah daripada RM8,000 hingga RM10,000 untuk PR1MA yang akan membuka lebih banyak peluang untuk memiliki rumah mampu milik.
Manakala pengenalan Skim Sewa Beli, katanya, merupakan satu langkah terpuji kerana ia akan membantu mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan perumahan.
“Walaupun kerajaan tidak secara langsung mengambil cadangan yang pernah dikemukakan REHDA, untuk mengkaji tambahan duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman, tetapi dengan peningkatan had pembelian daripada RM400,000 kepada RM500,000 hingga 31 Disember 2016, sedikit sebanyak akan membantu merangsang pertumbuhan sektor perumahan dan hartanah,” ujarnya.
FD Iskandar menjelaskan peningkatan harga skim Rumah Pertamaku RM500,000 adalah satu langkah yang tepat untuk mengimbangi peningkatan kos pembangunan yang meningkat.
“Keadaan ini selari dengan tambahan duti setem dan kelayakan peminjam kini 40 tahun daripada 35 tahun adalah diharapkan akan dapat mempercepatkan penyertaan lebih ramai pembeli dalam skim ini,” ujarnya.
Selain itu dalam pembentangan bajet semalam, kerajaan juga mengumumkan sejumlah RM1.3bilion diperuntukkan untuk membina 80,000 unit di bawah PR1MA; RM644juta untuk 26,000 unit bagi PPRT dan Rumah Aspirasi Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dilihat oleh REHDA sebagai satu perancangan positif kerajaan dalam merealisasikan agenda perumahan negara.