DAY 1 : Bengkel Kajiselidik
Geng Projek Rumah Ibadat Kita telah bertemu kembali untuk bengkel kajiselidik!
Walaupun kebanyakkan peserta-peserta RIK dah biasa buat kajiselidik di kolej dan universiti masing-masing, bengkel ini telah memperkenalkan kaedah, proses dan skil mengumpul maklumat dengan cara yang lebih tersusun dan efektif. Bengkel ini difasilitasi oleh Fahmi, seorang penyelidik sejarah & pengarah filem dokumentari.
Tapi...sebelum bengkel kajiselidik bermula, geng RIK telah membuat sidang media buat kali pertama untuk melancarkan Projek Rumah Ibadat Kita! Jangan lupa cari berita pasal projek kami dalam suratkhabar esok!
Seperti biasa, bengkel dimulakan dengan energiser game untuk kejutkan peserta yang masih mengantuk! Game pertama: “Zip-zap-boing!”.
Selepas itu peserta didedahkan dengan tiga jenis teknik asas kajiselidik:
1. Kajiselidik dokumen (document research)
2. Kajiselidik lapangan (field research)
3. Kajiselidik temubual (interview research)
Kemudian, melalui sesi brainstorming, geng RIK telah sama-sama senaraikan maklumat-maklumat yang boleh mereka masukkan dalam risalah rumah ibadat Brickfields. Macam-macam idea yang keluar, seperti sejarah rumah ibadat, nama tuhan yang disembah, dan juga sama ada rumah ibadat itu ada sediakan perkhidmatan seperti parking dan tilik nasib! Akhirnya 6 idea dipilih untuk dijadikan assignment kajiselidik untuk hari ini.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada tiga kumpulan dan masing-masing diberi assignment yang sama tetapi menggunakan kaedah kajiselidik yang berbeza. Kumpulan pertama yang ditugaskan membuat kajiselidik dokumen hanya boleh mencari maklumat menggunakan Internet tanpa keluar dari bilik kuliah. Kumpulan kedua yang ditugaskan membuat kajiselidik lapangan hanya boleh menggunakan kaedah pemerhatian untuk mengumpul maklumat dan kumpulan ketiga yang ditugaskan membuat kajiselidik temubual pula hanya boleh menemubual orang di lokasi kuil yang diberikan.
Sejam kemudian, ketiga-tiga kumpulan balik ke ruang workshop untuk kongsi maklumat yang telah mereka kumpul bersama kumpulan yang lain. Walaupun assignment mereka serupa, tapi hasil penyelidikan mereka menghasilkan maklumat yang berbeza-beza.
Melalui aktiviti ini, peserta dapat mempelajari kekurangan dan kelebihan setiap teknik kajiselidik, dan memahami kepentingan menggabungkan ketiga-tiga teknik ini bila membuat kajiselidik. Disamping itu, mereka dapat mengetahui kewujudan 4 rumah ibadat yang terletak di sepanjang Jalan Scott sambil mengasah teknik kajiselidik masing-masing.
Sampai waktu tengahari, peserta-peserta bukan Islam yang tidak berpuasa telah dihidangkan dengan makanan tengahari dari 5 buah kedai vegetarian yang berlainan dari sekitar Brickfields! Kenapa? Ada sebabnya! Kita akan beritahu kemudian ;)
Sesi terakhir pada hari pertama bengkel kajiselidik adalah sesi evaluasi. Geng RIK sama-sama berkongsi pendapat tentang pengajaran yang mereka perolehi dan cara-cara memperbaiki teknik kajiselidik selepas melalui bengkel hari ini.
Jumpa esok untuk hari kedua sesi Bengkel Kajiselidik!