Life happened, sebab kadang-kadang hidup memang tak tanya kita "boleh tak aku ubah rancangan kau?"
Dia tak minta izin,dia tak bagi pilihan. Dia tak hulurkan borang persetujuan.Dia cuma..mengubah.
Semalam kita sibuk merancang masa depan. Hari ini, kita sibuk belajar menerima kenyataan.
Ada cita-cita yang terpaksa ditangguhkan. Ada impian yang dilipat kemas, bukan kerana sudah tidak mahu, tetapi kerana ketika itu ada perkara yang lebih memerlukan kita.
Dan anehnya...orang hanya nampak kita berhenti tapi mereka tidak nampak apa yang sedang kita dukung.
Mereka bertanya,kenapa lambat sangat?
Sedangkan mereka tidak pernah melihat hari-hari di mana kita memilih untuk meletakkan diri di tempat kedua, kerana keluarga, kerana tanggungjawab, kerana keadaan yang tidak pernah kita minta.
Hakikatnya...bukan semua orang memulakan perlumbaan pada garisan yang sama.
Ada yang berlari,ada yang terpaksa berhenti seketika untuk memapah orang lain.
Dan apabila orang itu akhirnya menyambung langkah, dunia pula menuduhnya pentingkan diri.
Tetapi aku tidak pernah menyesal.
Kerana setiap keputusan yang aku buat ketika itu, datang daripada hati yang rela.
Aku tidak dipaksa untuk menyayangi, aku tidak dipaksa untuk mengalah. Aku memilih.
Dan aku percaya, tidak semua pilihan yang baik akan membawa kita terus kepada kejayaan. Ada pilihan yang membawa kita kepada kematangan terlebih dahulu.
Barangkali...inilah bahagian hidup yang orang jarang ceritakan. Bahawa menjadi dewasa bukan sekadar mengejar impian sendiri.
Kadang-kadang menjadi dewasa ialah belajar menerima bahawa ada musim di mana kita perlu menjaga kehidupan orang lain sebelum sempat membina kehidupan kita sendiri.
Dan itu tidak mengapa, kerana Allah tidak pernah menilai hidup manusia berdasarkan secepat mana dia sampai.
Allah juga melihat apa yang membuatkan perjalanan itu menjadi lambat.
Jadi …jika hari ini hidup kau masih belum kelihatan seperti apa yang pernah kau impikan...Jangan terlalu cepat menghukum diri.
Mungkin bukan kerana kau kurang berusaha, mungkin...life happened.
Dan walaupun hidup pernah mengubah rancangan kau tanpa meminta izin, ia tidak pernah mampu mengambil apa yang Allah telah tetapkan menjadi milik kau.
Kerana rezeki yang benar-benar ditulis untuk kita... tidak akan sesat mencari tuannya. Mungkin jalannya berubah, mungkin masanya tertangguh.
Tetapi jika Allah masih menulisnya untuk kau, suatu hari nanti...ia tetap akan sampai.