Kan?
Kau tak peduli sangat sebenarnya. Sekadar mengiyakan atau menyengih apabila diujarkan ‘kau balik mengundi tak’, ‘inilah masanya nak tukar’, ‘hebatkan negara, hebatkan anak muda, bro’ atau apa-apa saja yang merencah rona sirna pilihan raya. Bendera biru dan biru lebih muda berceracak sepanjang jalan seakan pesta menjelma. Bulan purnama sedang benderang di siang hari. Peluh lencun kau seka – sesekali memaki sengat mentari seolah-olah sejengkal atas kepala. Kata ustaz semasa kecil kau, di akhirat nanti ketika menunggu neraca amalan, mentari sejengkal atas kepala mereka-mereka yang bergelumang dosa.
Ketika melalui kedai mamak berskrin leper, suara pembaca berita acap kali memetik dua nama negeri, seolah-olah negara serba boleh ini hanya ada dua negeri semata-mata. Seperti mana hanya ada perwira bugis dan mantan berdarah mamak, hitam dan putih, dan duit bantuan kehidupan sekiranya menang. Tapi kau tak layak pun nak dapat duit bantuan tersebut. Gaji kau terlalu tinggi untuk layak, dan gaji kau terlalu rendah untuk selesa duduk tanpa hutang. Tapi siapalah kau untuk mengeluh, apa jasa kau pada negara setelah negara berjasa pada kau – kata-kata klise yang berhamburan sedari kecil dalam kem tatanegara atau orientasi atau mana-mana kem motivasi menyematkan rasa setia kepada parti (dan bukan negara ya, kawan-kawan). Kau tak peduli sangat sebenarnya. Walau hutang berbilion atau trilion, selagi kau atau ahli keluarga kau tidak keluar di atas skrin leper berwarna dalam keadaan huru-hara, kereta kebal, berlumuran darah atau artileri, Malaysia masih aman. Aman tenteram ‘equanimity’.
Kau tak peduli sangat sebenarnya, kan?














