UNTUK 2017 yang bakal pergi, terima kasih kerana menjadikan aku sekuat karang di laut, masih dalam waras menerima ujian-ujian hidup yang kesemuanya jika ku hitung dalam spektrum mata hati, sangatlah memberi erti yang menyuluh bagi keseluruhan perjalanan masa depanku. Tetap akan aku kenang segala-galanya sebagai buah yang manis kerana aku percaya selagi hidup, tidak ada manusia lain yang boleh merampas segala mimpi-mimpi baikmu, jikalau ia masih dalam reda (redho) Allah SWT. Tidak akan ada manusia yang boleh merosak dan merendah-rendahkan jiwa abadimu, jikalau tanpa engkau sendiri yang mengizinkan itu berlaku. Ya, hanya kita yang akan menjadi pemandu yang terbaik buat masa depan sendiri, bukan siapa-siapa yang lain.....
UNTUK 2018, sepertimana potret ini, inspirasi hidup akan terus melebar dan terus bergentayangan ke dunia luas, tinggi dan aroma membahagiakan sekali. Melangkahlah HS dalam posisi dirimu yang ada kala sukar dimengerti, yang ada kala suka melawan dek kerana tidak mudah dipermain-mainkan sewenang-wenang. Terus ke depan HS, membayar segala air mata yang pernah tertumpah yang sengaja engkau diamkan, kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana orang. Tidak apa-apalah HS. Tidak apa-apa. Seperti mana waktu yang kekal berlalu tidak pernah terhenti untuk walau sesaat, buangkan gelisah dan amrah, nista yang terlempar akan berlalu dalam diam menunjukkan hakikat kebenaran. Kejujuran hanya akrab muncul dalam jiwa-jiwa yang jujur bagi manusia yang terlebih dahulu jujur akan dirinya sendiri. Yang sudah berlaku tetap akan berlaku, tinggalkan sahaja dunia kepuraan-puraan, terus mengisi ruang keikhlasan, bermuhasabah dan jalan terus, terus jalan, mara ke depan.
Selagi kau ingat untuk kekal memberi kepada lain lain insan, selagi kau ingat untuk tidak 'berbuat jahat' kepada sesiapa di depan dan di belakang mereka, insya Allah, DIA Yang Maha Esa akan menuntun perjalananmu dengan penuh cemerlang, wibawa dan selamat menuju destinasi. Ingat janji abadimu - Jangan aniaya orang!








