New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/23/semakan-bajet-2015-tidak-perlu-dibentang-semula-di-parlimen/
Semakan Bajet 2015 tidak perlu dibentang semula di Parlimen
KUALA LUMPUR, 23 Januari:
Berdasarkan Bajet 2015 yang disemak semula, kadar defisit belanjawan negara kini dianggarkan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), atau kira-kira RM37 bilion, meningkat sebanyak RM2.7 bilion daripada unjuran asal.
Ia berikutan jumlah hasil negara yang lebih rendah serta unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2015, iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, pada Oktober lalu, defisit belanjawan negara pada awalnya dianggarkan sebanyak RM35.7 bilion atau 3.0 peratus daripada KDNK.
Bagaimanapun, menurut kenyataan kementerian berkenaan, Bajet 2015 yang disemak semula itu tidak perlu dibentangkan semula di Parlimen, kerana sebahagian besar langkah proaktif yang diumumkan baru-baru ini, tidak melibatkan sebarang perbelanjaan tambahan.
Malah, kementerian itu menjelaskan, langkah-langkah yang diumumkan dalam Perutusan Khas oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, pada Selasa lalu, juga tidak melebihi siling peruntukan yang diluluskan Parlimen.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Kewangan akan terus memantau secara terperinci perkembangan global dan kesannya ke atas ekonomi domestik.
“Kementerian Kewangan mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau penjelasan mengenai Perutusan Khas itu yang boleh diajukan menerusi emel kepada [email protected],” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut perutusan Najib, kementerian itu menjelaskan, Bajet 2015 digubal berdasarkan harga minyak mentah Tapis pada US$105 setong (US$1.00 = RM3.60).
Minyak mentah Tapis itu lazimnya mempunyai premium kira-kira US$5 setong melebihi harga Dated Brent, yang merupakan penanda aras global, jelas kementerian itu lagi.
“Memandangkan terdapat keperluan untuk memantau harga minyak mentah secara terperinci, berikutan kejatuhannya yang berterusan, rujukan dibuat ke atas harga Dated Brent pada US$100 setong dalam Perutusan Khas Perdana Menteri.
“Kerajaan bagaimanapun telah menyemak semula anggaran purata harga bagi Dated Brent, kepada purata US$55 setong bagi 2015,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian itu turut menjelaskan, peruntukan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka yang dinyatakan dalam semakan bajet itu, tidak diambil kira dalam pengiraan defisit fiskal.
“Simpanan luar jangka ini diperuntukkan bagi perbelanjaan mendesak dan di luar jangkaan yang tiada peruntukan sedia ada.
“Simpanan ini hanya dikategorikan sebagai perbelanjaan, apabila simpanan ini digunakan,” katanya.
Sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2015, kata kementerian itu, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM50.5 bilion, merangkumi RM48.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.













