Saya masih ingat bagaimana saya menjadi kaget dan terus menekup mulut apabila tiba-tiba loghat Pahang terpacul keluar waktu berbual kosong dengan Yusmisharis. Rasanya baru dua hari duduk bergaul dengan anak Sarikat Indie Timur. Cepat betul lidah saya melentur. Dari peristiwa itu saya membuat konklusi bahawa saya hanya benar-benar berada di Terengganu jika dapat bertutur dalam loghatnya. Saya ada praktis dua tiga patah perkataan mudah seperti ‘Kak, teh peng so’. Cuma itulah bila berdepan situasi lidah saya kelu. Akhirnya terkeluar juga loghat melayu baku.
Waktu catatan ini ditulis saya baru sahaja selesai makan malam. Bunyi angin kuat memukul-mukul tenda. Basikal dan barang pun sudah bersiap sedia tunggu hujan datang. Macam biasa, resam berkelana; setiap pengamalnya akan bertemu ibrah — pengajaran, penambahbaikan, keterbukaan, dll. Siapa sangka lubang-lubang tikus di Malaysia juga tak kurang memberi impak besar kepada si pencarinya. Turunlah telusuri jalan ini! Mungkin kamu bosan mendengar basa-basi semacam itu dalam sebuah cerita perjalanan: jumpa Tuhanlah, jumpa itulah, inilah. Terserah. Ada orang senang berbagi. Ada orang simpan manis bertuhan dalam sir.
Pejam celik hampir setahun juga saya di jalanan. Sedikit sebanyak pucuk pengetahuan menumbuh di ranting pemikiran saya. Memecahkan norma, membuka fikrah. Misalnya isu makanan. Sebenarnya saya tertanya-tanya kenapa Idzwan Latif, penulis buku Imbas Kembali berjaga-jaga tentang pemakanan (waktu berkelana). Kenapa Susanne dan Flo, pasangan daripada German — sangat rigid tentang sumber makanan mereka. Kenapa? Maksud saya (pada waktu saya berfikir seperti itu), mereka bukan ‘alim ulama’ yang selalunya golongan ini akan menolak semua jenis makanan-tanpa-tanda-halal. Sehinggalah suatu hari saya tersedar tentang isu penyembelihan haiwan. Di barat berpusu-pusu orang menjadi vegan selepas menonton video haiwan diseksa sewaktu disembelih. Itu belum masuk aktivis pelampau yang sanggup cop badan dengan besi pemanas untuk tunjukkan solidariti terhadap haiwan. Boleh jadi motif inilah yang terkait difikiran Idzwan, Susanne dan Flo. Wallahualam. Apapun pemikiran semacam inilah sedikit sebanyak membawa saya kepada perasaan betapa uniknya Islam. Punyalah indah Islam ini sampaikan untuk menyembelih haiwan pun ada rukun dan rukun yang dirangka itu diterima akal. Entahlah........... this a bit odd to talk.
Susanse dan Flo sarankan untuk menonton dokumentari Earthlings bagi memahami pergolakan isu manusia vs. haiwan
Ada hari saya terasa seperti berkayuh di Laos — pondok-pondok kecil yang dibina sepanjang jalan menuju ke Mersing, bunyi-bunyian cengkerik. Sama. Ada hari saya terasa seperti di Indonesia, rumah papan yang tiada pintu tiada tingkap tetapi riang anak-anak kecil bermain sakan. Ada hari seperti termasuk kampung bunia — redup, parit jernih, udara bersih tapi tak nampak orang. Ada hari saya terasa Ya Allah, negara ini pun tak kurang hebat pemandangannya! Semua itu saya nampak dengan mata kepala sendiri. Rafi selalu ingatkan saya betapa beruntungnya orang-orang terpilih untuk bertemu dengan jalan-jalan ini. Siapa tahu di negara ini ada sebatang sungai yang jernih walapun disebelahnya telah dibangun bangunan konkrik? Berkali-kali ranting pemikiran saya terhentak.
Berbalik kepada catatan yang saya tulis selepas makan malam di atas. Saya habiskan dalam 5 6 hari di Terengganu 3 hari pacak khemah tepi pantai, 2 hari bermalam di rumah host. Sepanjang waktu itu tak sekali pun saya bercakap dalam loghat Terengganu. Saya berharap dapat kembali ke Terengganu dan berlama-lamaan disana. Hanya pulang setelah berjaya beli teh ais menggunakan ayat teh peng so.
Sekian.
********
Saya harap wujudnya penulisan ini akan memucu kepada penulisan-penulisan lain berkenaan roadtrip. Dengan rasa rendah hati, saya berkongsi gambar pemandangan sewaktu mengambil kayu api di Pantai Tanjung Balau, Johor.