New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/06/dewan-rakyat-bertafakur-seminit-kenang-jamaluddin/
Dewan Rakyat bertafakur seminit kenang Jamaluddin
Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis yang meninggal dunia dalam satu nahas helikopter pada Sabtu.
Ucapan takziah itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said mewakili Yang Dipertua Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen dan keseluruhan Parlimen.
“Ahli-ahli yang berhormat dengan perasaan amat berdukacita dan sedih, saya bagi pihak Yang Dipertua memaklumkan kepada ahli-ahli yang Berhormat bahawa Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaluddin Mohd Jarjis ahli Parlimen Rompin telah kembali ke Rahmatullah pada hari Sabtu, 4 April 2015 dalam satu tragedi nahas helikopter yang turut mengorbankan lima yang lain.
“Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada negara.
“Saya bagi pihak Yang Dipertua, ahli-ahli Dewan ini dan pihak Parlimen seluruhnya ingin merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Seri Dr. Kalsom Ismail serta seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya sebelum soal jawab lisan bermula.
Susulan daripada itu, kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang bertafakur selama seminit bagi mengenang pemergian Pengerusi PRIMA itu.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, jenazah Jamaluddin disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara selepas solat Asar.
Jamaluddin dan Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bersama empat orang lagi terkorban apabila helikopter Dauphin AS365N2 yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang pada Sabtu.
Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.