Filipina mengesahkan buka semula Biro Borneo Utara : Teodoro Locsin
PETALING JAYA: Filipina semalam mengesahkan ia akan membuka semula Biro Borneo Utara “selepas menyedari seluruh dunia lupa tuntutan Sabah kami”. Portal berita Filipina, Inquirer.net melaporkan Setiausaha Hal Ehwal Luar, Teodoro Locsin Jr membuat pengumuman itu ketika pendengaran jawatankuasa mengenai pengasingan bajet yang dicadangkan untuk Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA). Locsin dipetik sebagai berkata, “kami tidak lupa” dan “ia membabitkan maruah kami”. “Ketika kami berusaha melindungi perairan kami, kami tidak lupa wilayah daratan kami. Dalam usaha mendapatkan apa yang menjadi milik kami, saya memutuskan untuk menghidupkan semula Biro Borneo Utara selepas menyedari seluruh dunia lupa tuntutan Sabah kami, dengan kasual menyebutnya wilayah negara lain. Tetapi, kami tidak lupa. “Ini satu daripada beberapa perselisihan antarabangsa yang kami boleh lakukan demi kepentingan terbaik kami tanpa sebarang risiko kerugian kepada negara kami. Ia membabitkan maruah kami. “Sekarang, kami akan menghidupkan semula biro itu dan memastikan tiada sesiapa dibenar mempertikaikan tuntutan itu tanpa tentangan daripada kami.” Malaysia dilaporkan berkata, ia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah. Julai lalu, Locsin mendakwa Sabah “bukan dalam Malaysia” dan calon presiden Filipina menawarkan rasuah “besar” kepada pegawai selama bertahun-tahun untuk menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah. Read the full article















