Garis Tua Itu – Merindui Umi
Tadi petang saya keluar bersama Umi. Umi membonceng di belakang saya, menaiki skuter yang abah belikan untuk adik bongsu, Izzatul. Kami ke kedai baju Sheila Shaari, kedai baju yang selalu menjual baju kurung dan blouse dengan harga murah. Serendah RM10 pun boleh dapatkan baju blouse yang cantik dan selesa. Tadi pagi Umi sempat membeli 2 helai baju dalam LIVE mereka sebentar tadi. Satu berharga RM10, satu lagi RM15. Murah, kan?
Selesai urusan kami di kedai baju itu, sambil umi menyarung helmet nya, saya terpandang wajah Umi. Dan terlihat garis-garis di muka, yang saya kira dan gelar – ia merupakan garisan tua di wajah. Dua kali juga mata saya tertangkap ke garis tua itu. Lantas otak terus berfikir – Umi umur berapa ya?
Entah, hati saya hiba. Hati saya sayu sekali. Rasa terlalu banyak kekurangan saya sebagai seorang anak untuk Umi. Dan terasa seperti ingin penuhi segala hajat Umi sebelum saya “pergi” lagi. Iya, pergi lagi dalam perjalanan menuntut ilmu yang terlihat pendek, tapi saya percaya, ia akan menjadi panjang.
Saya teringat momen pagi pada minggu lepas. Selepas selesai sediakan sarapan saya, saya duduk bersama Umi di ruang tamu berhadapan TV. Dan kami bualkan beberapa perkara. Dan di satu sudut di hati saya, ia berkata – rindu, aku merindui Umi.
Hampir dua minggu Umi terpaksa menetap di hospital menjaga tokwan dan belajar cara menjalankan CAPD (dialysis air) , dan rumah terasa sunyi sekali. Meski sebelum ini Umi juga ulang-alik ke hospital, tapi saya kira, ini yang paling lama kami tidak bersua langsung dengan Umi. 2 minggu secara terus. Dan saat saya Ketika itu merasa terlalu penat dan ingin kan masa sendiri (me time), dan apabila Umi pulang saat itu, hati saya juga berbisik- “Barangkali apa yg aku inginkan hanya Umi di sisi, bukanlah “me time” sangat”.
Saya teringat satu catatan Ust Hasrizal dalam buku beliau – Man Oo Rizal , - perihal sindrom pelajar asrama yang berhati kering. Barangkali itulah saya. Saya juga merasakan hati saya sangat kering, dalam meneruskan cita-cita. Dalam menegaskan, hidup ini ialah hidup yang saya pilih.
Saya faham perasaan seorang ibu yang juga seorang suri rumah yang barangkali memikirkan, pada usia anak dara yg begini, ini ialah masa yang ideal untuk bernikah. Tapi apakan daya, takdir membawa saya ke dunia lain dahulu. Dunia yang pernah saya lakarkan ia dalam diari saya di bawah tajuk “Cita-Cita”. Dan kini, perlahan-lahan ia menjadi kenyataan.
Moga saya tidak lupa untuk terus berdoa- Semoga aku dan adik beradik aku menjadi anak yg soleh dan solehah, serta berbakti kepada mereka berdua sebagaimana mereka menjaga tokwan kami, sehingga nyawa memisahkan kami. Ameen.
10.11PM, 05 Disember 2020.
Parit Buntar, Perak.





















