New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/07/pelajar-singapura-hasilkan-dokumentari-interaktif-cameron-highlands/
Pelajar Singapura hasilkan dokumentari interaktif Cameron Highlands
Bagi meningkat kesedaran orang ramai mengenai alam sekitar, seorang pelajar dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura menghasilkan sebuah dokumentari intraktif mengenai Cameron Highlands.
Awal bulan ini, Yo Kai Wen dari Wee Kim Wee School of Communication and Information (WKWSCI) berjaya menyelesaikan dokumentarinya berjudul The Disappearing Hills (Bukit yang hilang).
Dokumentari itu memaparkan kajian mengenai Cameron Highlands dilanda banjir lumpur pada Oktober 2013 dan mengakibatkan kematian serta memusnahkan rumah dan lebih 100 buah kenderaan.
Dokumentari yang dimuat naik di sebuah laman internet kini ditonton lebih daripada 30,000 orang ini turut memaparkan pelbagai isu termasuk pekerja pendatang tanpa izin, petani dan penerokaan hutan.
Yeo meluangkan masa selama tiga bulan dengan menemuramah orang ramai yang terdiri daripada petani, pemilik kedai, guru dan suri rumah.
Beberapa gambar banjir lumpur dikongsi oleh penduduk tempatan termasuk seorang wanita Melayu yang menjadi mangsa apabila rumahnya turut musnah akibat banjir itu.
Dia juga menggunakan ‘drone’ untuk merakam landskap sekitar Cameron Highlands serta mendedahkan penerokaan tanah di sana.
Yeo sentiasa berminat dengan isu melibatkan keselamatan makanan kerana rakyat Singapura banyak bergantung kepada bekalan makanan seperti sayur dan hasil pertanian dari negara jiran.
Dia berpendapat, Singapura telah memindahkan permintaan untuk sumber iaitu beban kepada alam sekitar dan makanan kini merentasi sempadan.
Baginya, rakyat Singapura perlu sedar punca sayur dan air yang diterima sehinggalah kesan terhadap alam sekitar.
“Saya memilih Cameron Highlands selepas bercuti di sini pada Jun tahun lalu.
“Saya melihat penebangan hutan berlaku ketika tinggal di Brinchang.
“Saya ingin tahu apakah kesan kejadian itu kepada rakyat kerana pasti kesannya mendalam apabila lebih banyak pembangunan terutamanya penerokaan tanah berlaku di kawasan ini,” katanya kepada The Rakyat Post.
Selepas membuat kajian, dia berpendapat beberapa isu perlu dikupas di peringkat akar umbi dan perlu berkongsi cerita dengan rakyat Malaysia secara terbuka.
Yeo berkata, dia cuba bersikap neutral dalam menghasilkan dokumentari ini dan mahukan penonton untuk melakukan pengadilan sendiri selepas melihat dokumentarinya.
“Saya merasakan cerita mengenai banjir lumpur ini adalah penting dan tanpa cerita ini, tidak mungkin adanya Ops Gading hari ini,” katanya
Ops Gading adalah operasi yang dilaksanakan Majlis Keselamatan Negeri bagi membanteras pencerobohan tanah haram di Cameron Highland.
Yeo berkata, berdasarkan pengalamanya dalam menyiapkan dokumentari itu, dia merasakan sukar untuk mengembalikan keadaan asal di Cameron Highlands.
“Setiap kali saya bercakap dengan petani di sini, saya berasa sedih.
“Mereka di sini mahu mencari nafkah tanpa memikirkan masalah jangka panjang dengan pembangunan di sini,” katanya.
Pelbagai rungutan yang diluahkan penduduk setempat dan mereka menganggap tamak adalah masalah di Cameron Highlands.
Tetapi bagi Yeo, sukar untuk mengaitkan tamak dengan penduduk setempat kerana layanan yang diberikan sangat baik.
“Semua orang tahu perkara yang berlaku di sini tetapi kami hanya boleh memperlahankan proses dalam memusnahkan alam sekitar.
“Menyalahkan orang lain bukan jalan penyelesaian tetapi pendidikan kepada petani adalah penting,” katanya.
Yeo tegas menyatakan, sekiranya perubahan iklim berlaku, Cameron Highlands tidak akan menjadi tempat orang ramai untuk mendapatkan kelegaan daripada haba tanah rendah.
Dokumentari ini boleh ditonton di http://disappearinghills.com/