APA YANG BERLAKU DI FUU, Coretan terakhir Mantan MPP FUU 1213
Baru – baru ini kita digemparkan dengan isu spray/cat di pintu bilik gerakan YDP MPP / Majlis Tertinggi MPP UiTM Shah Alam dan -bilik pensyarah-Timbalan Dekan Fakulti Undang – Undang. Saya Faham bahawa ramai yang berasa kurang senang dengan hakikat yang diumukan pada khamis (4/12/14) lepas bahawa majoriti Fakulti Menang Tanpa Bertanding.
Akan tetapi ketidakpuasan terhadap isu ini tidak seharusnya diluahkan dengan cara merosakkan harta benda awam. Hal ini tidak mencerminkan mentaliti dan budaya hidup seorang mahasiswa dan mahasiswi yang dikatakan memiliki keilmuan dan kesopanan adab yang tinggi.
Usahlah kita menuding jari siapakah pelaku vandalisma itu kerana kita masih tiada bukti konklusif akan pelaku kedua – dua insiden itu, adakah pelakunya orang yang sama atau berbeza, hanya pelaku dan Allah sahaja yang tahu.
Walaupun tragedi yang berlaku baru – baru ini merupakan satu peristiwa suram dalam sejarah mahasiswa, namun kita seharusnya melihat isu ini dari beberapa aspek, sama ada minda kita sudah disekat dengan mengatakan bahawa pihak Pentadbiran sudah menentukan segalanya, ataupun kita memilih untuk memikirkan bahawa ramai yang layak namun tidak ramai yang berminat. Sama ada faktor pertama atau faktor kedua, atau gabungan kedua – dua faktor ini, ketiga – tiga situasi itu mengambarkan satu pemandangan yang kurang enak ke atas kemulian status –Universiti Sebagai Tempat untuk Kita Belajar erti sebuah kehidupan-
Satu prinsip yang sering saya ingatkan pada diri ialah, bila mana ada masalah kita belajar dari masalah itu dan cuba mencari jalan penyelesaiannya, oleh itu adalah lebih baik kita persiapkan mahasiswa - mahasiswi agar lebih ramai yang mampu bertanding, layak bertanding dan memiliki keinginan untuk menceburi bidang kepimpinan ini agar tidak lagi berlaku peristiwa sebegini. Kita lahirkan seramai mungkin mahasiswa mahasiswi yang cakna akan isu semasa, faham apa itu erti pengorbanan, kebajikan dan mampu menyeimbangkan antara akademik dan kokurikulum. Lahirnya seorang pemimpin kerana dipimpin dan diacuankan oleh orang sekitarnya, sekiranya orang disekitar kita memiliki konsep kepimpinan A maka A lah bentuk yang terhasil, sekiranya Acuan Z maka Z lah bentuk yang terhasil. Dalam melakukan banyak perkara, jangan kita hanya memikirkan kuasa dan budi bicara kita semata – mata namun kita seharusnya memikirkan implikasi / impak / kesan yang akan terjadi sekiranya kita melakukan sesuatu perkara itu.
Secara jujurnya baru – baru ini kami telah dihentam (dari segi reputasi / peribadi dan kesetiaan) oleh sesetengah pihak dengan mengatakan kami barisan mantan tidak memberikan sokongan (kami masih tidak memahami sokongan bentuk apa yang dimahukan), dan ada sesetengah pihak yang mengatakan kami terlalu memberi sokongan kepada satu pihak yang lain pula. Namun pada pendapat saya setiap orang memiliki pendapat peribadi. Bagi saya tiada siapapun berhak mempersoalakan kesetiaan mantan - mantan Majlis Perwakilan Pelajar yang pernah mengorbankan masa tenaga dan wang ringgit demi membantu pembangunan Universiti ini. Tindakan sedemikian adalah tidak ubah seperti vandalisma ke atas integriti kami. Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan cara pemikiran kami, pegangan ideologi kami, namun jangan pernah lupa bahawa kami barisan mantan tetap dan selamanya menyayangi fakulti kami dan universiti ini, kerana kami faham tujuan universiti ini adalah untuk membantu melahirkan anak bangsa yang cemerlang dalam pelbagai disiplin ilmu.
Berkenaan pemilihan Sdr Akmyr Ahmad Azwan dan Sdri Jasmin Ikhwan Kwan sebagai Calon MPP FUU 1415 dan sudah diumumkan menang tanpa bertanding, kami barisan mantan Majlis Perwakilan Pelajar FUU 1213 dan 1314 tetap akan terus membantu selama mana bantuan kami diperlukan. Mereka telah berjumpa kami mantan 1213 (saya dan Hidayah Annual ) dan 1314 ( Zetty Sufina Mohd Zanib Muhammad Nur Firdaus ) kami merasa berterima kasih kerana mereka merujuk dan meminta nasihat dari kami, inilah kualiti yang perlu ada dalam setiap pihak, sentiasa bertanya bagi menghasilkan sesuatu yang baik demi kebaikan semua.
Baru – baru ini Pelajar FUU dikejutkan dengan insiden Jadual Peperiksaan Akhir pelajar Semester 5 (LW224) dan 6 (LW213) serta pelajar semester 1 dan semester 2 (LW222) yang memiliki 2 kertas peperiksaan sehari. Kami faham bahawa pelajar yang cemerlang akan tetap cemerlang namun, adalah menjadi kewajipan pihak yang menyediakan jadual untuk memikirkan kondisi pelajar yang akan menduduki peperiksaan.
Sebagai contohnya pelajar LLBHons Semester 2, telah dijadualkan untuk mengambil kertas peperiksaan Advance Civil Procedure 2 pada 12.01.15 pada jam 0900 – 1200 serta Advance Criminal Procedure 2 pada 12.01.15 pada jam 1415 – 1715. Kita bayangkan situasi pelajar pada masa itu. Tamat peperiksaan pada jam 1200, pengawas memungut skrip jawapan, mengira jumlah skrip jawapan dan kemudian baru dilepaskan, kita anggarkan paling cepat dalam 15 minit paling lambat proses itu dlm 20 minit, kita ambil yang paling lambat jadi dianggarkan pada jam 1220 kita akan keluar dari dewan. Tempat (Lokasi) peperiksaan belum diumumkan, kita berperasangka baik bahawa kertas – kertas ini di lokasi yang sama dengan kemudahan surau yang selesa dan cafeteria atau tempat untuk menunggu sementara ke peperiksaan seterusnya. Peperiksaan seterusnya adalah jam 1415. Kertas Criminal Procedure 2 mempunyai masa membaca selama 15 minit oleh itu pada jam 1400 pelajar sepatutnya sudah masuk ke dewan, maka adalah menjadi norma untuk pelajar masuk lebih kurang jam 1345 atau 1330. Cuba bayangkan, situasi di mana dengan keadaan surau yang pastinya tidak sebesar Masjid UiTM pelajar perlu dari jam 1220 – 1300 untuk makan dan 1300 – 1330 untuk menyelesaikan solat (bukan seorang tapi ramai) adakah sempat untuk pelajar bersedia untuk kertas seterusnya (kita tolak isu untuk mengulangkaji kerana pastinya akan ada yang memberi jawapan bahawa peperiksaan bermula lewat dan ada 2 minggu masa persediaan).
Saudara Akmyr dan Saudari Jasmin telah bersetuju untuk membantu Pelajar FUU membuat rayuan jadual peperiksaan, Mereka telah mengusulkan untuk membuat Petisyen berkenaan hal ini. Oleh itu marilah kita sama – sama mebantu mereka dalam menyelesaikan kemelut jadual peperiksaan ini.
Akhir kata, kami mantan majlis perwakilan pelajar tetap akan bersama UiTM selagi mana Universiti ini perlukan kami, kami akan bantu, selagi mana MPP perlukan kami kami akan bantu dan selagi mana fakulti memerlukan kami, kami akan bantu. Buang yang keruh ambil yang jernih amalkan prinsip itu dan bukannya hanya menyatakannya di bibir sahaja.
AYUH MENJADI MAHASISWA MAHASISWI
-Khairul Aisamuddin Bin Abdul Rahman Mantan Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Undang – Undang Sesi 2012/ 2013 (Mantan Penolong Yang DiPertua MPP UiTM Shah Alam 1213) Mantan Presiden Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang - Undang 2012 Mantan Setiausaha Agung Institusi Pemimpin Muda UiTM 2012 Mantan Exco Kebajikan dan Kerohanian Student Community Law Club 1112.











