New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/sosial/2015/03/25/mak-intan-teruskan-kebajikan-pak-mie-terhadap-haiwan/
Mak Intan teruskan kebajikan Pak Mie terhadap haiwan
ALOR SETAR, 25 Mac:
“Ayah sudah tiada ada lagi. Kita semua rindu ayah tetapi dia sentiasa menjadi sebahagian daripada kami, jadi kita perlu jadi kuat …”.
Itulah kata-kata Halijah Idris, 68, atau lebih dikenali sebagai Mak Intan kepada 500 ekor anjing yang dijaga bersama arwah suaminya sejak lima tahun lalu di sebuah tempat perlindungan haiwan, di Jalan Tanjung Bendahara, Taman Sultan Abdul Halim, di sini.
Tempat perlindungan sekitar dua ekar dibahagikan kepada beberapa bahagian; anjing yang dilahirkan kurang upaya, anjing sakit dengan keperluan khas, anjing normal dan sihat dan juga tempat mainan untuk anak anjing.
Daripada 500 ekor anjing, dia dan suaminya, Azmi Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mie, seekor anjing betina, seekor anjing putih baka campuran tulen berumur dua setengah tahun, tidak sabar menunggu di pondoknya, menunggu kepulangan Pak Mie.
Menurut Mak Intan, Shanis, antara anjing kegemaran Pak Mie, pernah diselamatkan suaminya ketika dia dilahirkan.
“Saya rasa dia dapat merasakan ketiadaan Pak Mie dan tidak akan datang semula tetapi dia masih seolah-olah seperti mengharap. Lihat bagaimana dia asyik menunggu di pondok sambil berharap?
“Pak Mie akan menghabiskan banyak masa dengan Shanis dan akan membawanya bersama-sama di dalam kereta setiap kali keluar,” katanya kepada The Rakyat Post ketika mengimbas kembali peristiwa itu.
Walaupun dua hari berlalu pemergian suaminya, tetapi Mak Intan, ketika ditemui telahpun memulakan rutinnya dengan memberi makan dan membersihkan haiwan jagaannya.
“Ia adalah sukar bagi saya dan dua anak kami untuk menerima pemergiannya secara tiba-tiba tetapi haiwan di sini perlukan kami, jadi kami perlu meneruskan apa yang Pak Mie telah mula.
“Ini adalah rasanya bagaimana saya berhubung dengan suami walaupun dia tidak ada lagi,” katanya dengan linangan air mata jatuh di pipi sambil mengusap Shanis.
Pak Mie, 58, seorang bekas pekerja kontrak, yang memulakan tempat perlindungan tersebut sejak lima tahun lalu meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, kira-kira 11.30 malam Ahad, selepas diserang strok kali kedua minggu lalu.
Pak Mie pernah dihimpit kontroversi pada 2013 apabila media melaporkan dia dan keluarganya diancam untuk diusir oleh pihak berkuasa tempatan.
Dia menjadi tumpuan ramai apabila dilihat seolah menentang norma Islam mengenai anjing sebagai ‘haram’ sebaliknya menyelamatkan ratusan anjing dan kucing liar terbiar di sekitar Alor Star.
Menurut Mak Intan, dia teringat bagaimana dia dan suaminya menjadi bahan ejekan dan pernah dipulaukan oleh masyarakat Islam di situ.
Malah, dia dan suaminya juga pernah diludah, dilempar dengan benda-benda kotor sehingga peralatan makanan di gerai yang dikunjunginya dibuang oleh pekedai kerana dianggap ‘najis’.
“Bagi saya, ia sangat mudah. Islam adalah agama yang sangat mudah. Mengapa rumitkannya?
“Islam mengajar kita untuk mengasihi semua haiwan kerana mereka adalah ciptaan Tuhan tetapi sekali lagi, setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri.
“Kami hanya melakukan apa yang betul tetapi saya akan terus menyukai semua haiwan kesayangan ini kerana mereka telah diamanahkan kepada saya oleh-Nya,” katanya.
Kata Mak Intan, apa yang melucukan ialah bagaimana sesetengah orang, terutama umat Islam dan Melayu akan menganggap anjing sebagai ‘haram’ atau najis tetapi tidak kisah melakukan perkara maksiat seperti penzinaan dan pembuangan bayi.
“Adakah mereka sebenarnya tidak dosa?
“Sekurang-kurangnya kita menyelamatkan nyawa dan tidak membunuh jiwa yang tidak berdosa.
“Benar, kadang-kadang pakaian saya kotor apabila saya menguruskan penjagaan anjing dan kucing, tetapi selalunya saya ‘samak’ sebelum melakukan solat,” ujarnya.
Sambil menahan air mata, Mak Intan menceritakan kembali bagaimana suaminya mengingatkan semua anjingnya ‘supaya berkelakuan baik dan tidak bergaduh antara satu sama lain’ kerana Pak Mie akan berjauhan selama beberapa hari untuk mesyuarat di Kuala Lumpur, minggu lalu.
“Tetapi saya merasakan sesuatu yang tidak kena apabila anjing-anjing itu menyalak tidak henti-henti dan bergaduh dengan satu sama lain, seolah-olah cuba untuk membantah supaya suaminya tidak pergi.
“Mereka seolah-olah cuba memberitahu yang Pak Mie tidak akan kembali,” katanya sambil terkenang saat-saat manis ketika menghabiskan masa bersama memelihara haiwan-haiwan yang pernah diselamatkan mereka.
“Kami sanggup habiskan masa berjam-jam dengan mereka dan itu yang membuat saya dan suami lebih dekat,” katanya.
Dengan ketiadaan Pak Mie, Mak Intan yang tinggal berseorangan berikrar untuk menjaga legasi Pak Mie selagi dia hidup.
Tempat perlindungan tersebut memerlukan kira-kira 40 kilogram beras, ayam, ikan dan telur setiap hari.
“Syukur saya mempunyai sokongan daripada rakan-rakan dan penderma yang murah hati membawa beras, ayam dan ikan untuk haiwan-haiwan ini.
“Selain makanan, saya juga mendapatkan bekalan makanan tambahan dan ubat bagi merawat yang sakit untuk mereka.
“Hanya Allah yang dapat membayar balik kebaikan dari orang-orang yang telah membantu.
“Tetapi buat masa ini, saya perlu terus kuat dan menjaga kesihatan demi haiwan-haiwan ini,” katanya sambil menunjukkan beberapa ubatnya untuk tekanan darah tinggi.
Saksikan klip video sejenak bersama Mak Intan yang sempat The Rakyat Post rakamkan.
https://www.youtube.com/watch?v=jTKUT62gbP4













