New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/06/12/harussani-kajian-hossein-askari-tidak-tepat
Harussani: Kajian Hossein Askari tidak tepat
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mempersoalkan kajian yang dilakukan ahli akademik kelahiran Iran dari Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari bersama rakan sekerjanya, Dr. Scheherazde S. Rehman berhubung negara yang mengamalkan nilai murni daripada al-Quran.
Menurutnya, beliau tidak bersetuju dengan keputusan kajian itu yang mengatakan bahawa berdasarkan nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran, Ireland lebih baik dari negara Islam lain dan tiada negara Islam menduduki tangga ke-25 teratas, manakala negara Arab pula berada dalam senarai 50 ke bawah.
Beliau berkata, mungkin dari segi kebendaan, negara yang disenaraikan itu lebih baik dari negara Islam lain, tetapi dari segi kerohanian, kesemua negara Islam lebih baik dari negara tersebut.
“Memang jika kita tengok dari sudut kajian, negara Arab lebih teruk dari segi politik dan pembahagian harta kekayaan, tetapi jika dilihat dari segi akhlak, umat Islam lebih baik.
“Kajian ini tidak tepat, kerana negara yang menyokong Israel, pembunuh jutaan umat Islam dikatakan lebih mematuhi nilai yang terkandung dalam al-Quran? Bagaimana mereka boleh dikatakan lebih baik?” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Beliau tidak menolak bahawa umat Islam hari ini kurang mengamalkan amalan yang dituntut oleh Islam, seperti yang dilaporkan dalam kajian itu, di mana negara yang diiktiraf sebagai negara Islam, kini hanya menggunakan agama sebagai alat untuk berkuasa, tetapi tidak mengikuti nilai yang terkandung dalam al-Quran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, biarpun hal ini berlaku di kalangan negara Islam, namun dari segi keadilan, umat Islam tidak pernah memerangi orang bukan Islam.
“Jika kita lihat kajian ini, adanya beberapa perbezaan pendapat. Sweden menduduki tangga ketiga terbaik dan dikatakan lebih mematuhi nilai yang terkandung dalam al-Quran daripada kebanyakan negara Islam lain, tetapi kenapa mereka menghukum pasangan Malaysia di Sweden.
“Mereka dipersalahkan kerana hendak mengajar anak sendiri menunaikan solat hingga dipenjarakan. Di mana keadilan bagi sesebuah negara itu? Takkan ibu bapa hendak mengajar anak menunaikan solat pun tidak boleh,” katanya.
Jelasnya, negara-negara Islam juga tidak menyokong undang-undang perkahwinan sejenis yang diluluskan beberapa negara yang dikatakan lebih mengamalkan nilai-nilai berdasarkan al-Quran.
“Negara yang terdapat dalam senarai teratas, seperti Belanda, Belgium, Sepanyol, Kanada, Afrika Selatan, Norway, Sweden, Portugal, Iceland, Argentina dan Mexico membenarkan perkahwinan sejenis yang nyata dilarang dalam al-Quran, dan bagaimana negara itu boleh menduduki tangga teratas dan dikatakan lebih mematuhi nilai yang terkandung dalam al-Quran daripada kebanyakan negara Islam lain.
“Dalam negara Islam, perkahwinan sejenis diharamkan dan soal kebebasan secara mutlak juga ditolak dan hanya rasuah berleluasa, tetapi dari segi akhlak, kita lebih berakhlak mulia,” katanya.
Dalam pada itu, Harussani meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, kerana Malaysia berada di tangga ke-33 dan dikatakan sebagai negara Islam terbaik di kalangan negara Islam di dunia, diikuti Kuwait di tangga ke-42, manakala Arab Saudi pula menduduki tangga ke-91 dan Qatar di tangga ke-111.
“Syukur negara kita lebih baik dari negara lain dan saya mendoakan agar negara ini dirahmati-Nya,” katanya.