New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/16/mahkamah-putuskan-pegawai-anggota-polis-terlibat-kematian-chandran/
Mahkamah putuskan pegawai, anggota polis terlibat kematian Chandran
KUALA LUMPUR, 16 Januari:
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Dang Wangi terbabit menyebabkan kematian pemandu lori, Chandran Perumal di lokap polis, dua tahun lalu.
Koroner, Ahmad Bache membuat keputusan itu, selepas berpuas hati dengan fakta serta keterangan yang diberikan 14 saksi, sepanjang prosiding inkues yang membuktikan pegawai dan anggota polis dari dua balai tersebut, melakukan pengabaian salah sehingga menyebabkan kematian Chandran, 47.
Katanya, mereka tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun keadaan kesihatan mendesak si mati dalam tempoh yang dimaksudkan adalah ketara, yang mewajarkan beliau dihantar dan dirawat segera di hospital.
“Malah, keterangan pegawai penyiasat, Inspektor Mahezal Mohd Noh yang menyatakan ‘tidak terlintas dalam hati saya untuk hantar suspek ke hospital’, menunjukkan tiada apa-apa tindakan yang diambil pihak polis, walaupun majistret mengarahkan si mati diberi rawatan sewajarnya,” katanya.
Mahkamah turut memutuskan, Chandran meninggal dunia pada atau sebelum jam 7.48 pagi 10 September 2012, bukan pada jam 7 malam hari sama, seperti yang dilaporkan polis, sebelum ini.
Selain itu, Ahmad turut tidak mempertikaikan Chandran meninggal dunia di lokap IPD Dang Wangi, akibat ‘hypertensive heart disease’, kerana tekanan darahnya menjadi tinggi dan dia tidak diberi atau memakan ubat-ubatan berkaitan penyakit itu.
Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan bahawa si mati diasing dan ditempatkan dalam lokap yang tidak mempunyai sebarang kemudahan asas, seperti tandas dan tiada alas tidur.
Selain itu, mahkamah bersetuju dengan keterangan Dr Nurul Kharmila Abdullah yang menyatakan, kematian boleh dielak, jika si mati diberi ubat-ubatan yang diperlukan.
Hasil laporan bedah siasat mendapati, ada beberapa kesan kecederaan di kepala Chandran, akibat pukulan, selain kecederaan lain.
Chandran yang ditahan di lokap pada 6 September 2012, kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan seorang bayi, meninggal dunia pada 10 September 2012.
Peguam pemerhati, M. Visvanathan yang mewakili keluarga si mati, berpuas hati dan berterima kasih kepada mahkamah atas keputusan itu.
“Kami akan berbincang dengan keluarga mendiang untuk langkah seterusnya dan kemungkinan akan mengambil tindakan sivil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya selepas prosiding itu.












