New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/07/anak-paul-phua-mengaku-bersalah-kendali-perjudian-haram-di-amerika/
Anak Paul Phua mengaku bersalah kendali perjudian haram di Amerika
Darren Wai Kit Phua, 23, anak lelaki kepada Paul Phua Wei Seng, telah mengaku bersalah di mahkamah Amerika Syarikat atas tuduhan mengendalikan pertaruhan haram judi Piala Dunia, lapor Casino.org, sebuah laman web panduan dan berita mengenai kasino.
Casino.org memetik peguam Darren sebagai berkata anak guamnya menukar pengakuan kepada bersalah dan menerima tawaran rayuan kerana “rindukan” Malaysia.
Darren dituduh bersama bapanya dalam kes itu, yang menjadi tajuk berita kontroversi di negara ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menghantar surat sokongan untuk bapa Darren, Paul Phua mengatakan beliau sedang membantu kerajaan Malaysia dalam projek-projek keselamatan negara.
Darren Phua telah didakwa dengan dua tuduhan feloni menjalankan perniagaan perjudian haram dan penghantaran maklumat pertaruhan.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalah itu, Darren Phua bersetuju melepaskan hak ke atas wang tunai berjumlah AS$125 ribu yang dirampas dalam serbuan pihak berkuasa dan membayar denda sebanyak AS$100 selain dilucutkan hak ke atas semua peralatan elektronik yang disita.
Dia juga tidak dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat selama lima tahun dan akan berada dalam tempoh percubaan tanpa pengawasan sepanjang tempoh itu.
“Selepas menghabiskan sembilan bulan pengasingan diri daripada keluarga dan rakan-rakan, Darren bersedia untuk pulang ke rumah,” kata peguamnya Richard Shonfeld dalam satu kenyataan.
Sementara itu, tarikh perbicaraan bagi bapanya Paul Phua, 50, ditetapkan pada 13 April ini.
Seorang peguam pasukan pembelaan Paul Phua berkata pengakuan bersalah Darren Phua tidak akan memberi kesan dalam kes bapanya.
“Paul tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan kekal komited untuk membersihkan nama baik beliau,” kata peguamnya David Chesnoff dalam satu kenyataan.
Pasukan peguamnya setakat ini konsisten berhujah bahawa kaedah pemantauan yang digunakan penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) adalah salah dan melanggar Pindaan Keempat Perlembagaan Amerika.
Pindaan Keempat Perlembagaan AS memberi perlindungan terhadap penggunaan kaedah “penyitaan dan carian yang tidak munasabah” oleh pihak berkuasa kerajaan negara itu.
Ejen FBI sebelum ini dilaporkan menyamar sebagai pekerja syarikat membaiki Internet untuk masuk ke dalam operasi yang didakwa dilakukan oleh Phua dan Darren bagi mengumpul bukti video mengenai dakwaan rangkaian perjudian dalam talian itu.
Paul, dan enam yang lain termasuk anaknya Darren telah dihadapkan ke mahkamah Amerika Syarikat pada Julai tahun lepas kerana didakwa memainkan peranan dalam menjalankan operasi dari Ceasars Palace, sebuah hotel terkemuka di Las Vegas.
Menurut pihak pendakwa, Phua bersama-sama enam tertuduh terbabit telah menjalankan apa yang Lembaga Kawalan Perjudian Amerika gambarkan sebagai “bilik wayar” berteknologi tinggi di mana pertaruhan haram pertandingan bola sepak Piala Dunia boleh dipantau melalui komputer yang dikawal dari jauh oleh beberapa pihak lain di luar negara itu.
Penyiasat pula mendakwa rangkaian perjudian berkenaan mengendalikan sebanyak US$300 juta wang pertaruhan sepanjang berada di Vegas.
Lima anggota kumpulan itu, termasuk pemain poker Richard Yong, mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atas mereka.
Semuannya dihukum denda berjumlah berjuta dolar selain tidak dibenarkan memasuki semula ke Amerika Syarikat selama lima tahun dan akan berada dalam tempoh percubaan tanpa pengawasan sepanjang tempoh itu, hukuman yang dipercayai sama dengan yang dikenakan ke atas Darren Phua.
Berikut pautan berita mengenai Darren Phua atau “Phua Junior” di Casino.org.
http://www.casino.org/news/darren-phua-pleads-guilty-to-world-cup-betting-ring-charges