New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/06/laluan-kontra-di-ldp-kedua-diperkenalkan-isnin-ini/
Laluan kontra di LDP kedua diperkenalkan Isnin ini
PUCHONG, 6 Disember:
Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) akan melancarkan pergerakan trafik di Lebuhraya Puchong-Damansara (LDP), dengan menambah baik perkhidmatannya melalui skim laluan kontra yang akan bermula Isnin ini.
Laman rasmi LITRAK menjelaskan, skim laluan kontra itu bermula dari Kilometer 21 (hadapan UOB dan HSBC), selepas IOI Mall, Puchong.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan mengambil lorong paling kanan untuk memasuki skim laluan kontra itu.
Susulan pelaksanaan skim laluan kontra itu, pengguna LDP dari Puchong, Putrajaya dan Shah Alam yang menghala ke Kelana Jaya tidak akan melalui trafik padat antara Puchong Jaya dan Plaza Tol Petaling Jaya (3 kilometer), pada waktu puncak pagi.
Laluan keluar khas bagi skim laluan kontra itu ialah di Kilometer 18, dan ia terhad kepada kenderaan ringan sahaja.
Bagi tujuan kefahaman pengguna lebuh raya, LITRAK telah mengeluarkan kaedah-kaedah pemberitahuan, seminggu sebelum ianya dilaksanakan.
Skim laluan kontra itu bertujuan memperbaiki pergerakan trafik di LDP dari Putrajaya dan Shah Alam menghala ke Kelana Jaya, merangkumi penutupan sepenuhnya Plaza A di arah bertentangan dari Sunway.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dari Sunway ke Puchong dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dikehendaki menggunakan Plaza B.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LITRAK, Sazally Saidi berkata, usaha itu membabitkan persiapan rapi dan penggunaan tenaga kerja yang ramai di lokasi pelaksanaan.
Sazally berkata, skim laluan kontra itu akan bermula 8 Disember ini, dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi setiap hari, kecuali Sabtu, Ahad dan cuti am.













