New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/06/19/francis-yeoh-digesa-perjelas-dakwaan-kapitalisme-kroni
Francis Yeoh digesa perjelas dakwaan kapitalisme kroni
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa Pengarah Urusan YTL Corporation Berhad, Tan Sri Dr Francis Yeoh memberi penjelasan terhadap kenyataannya yang mendakwa berlaku ‘kapitalisme kroni’ dalam projek kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nizam Mahshar berkata, kenyataan Yeoh adalah tidak masuk akal kerana beliau juga mendapat projek secara rundingan terus.
Menurutnya, Yeoh juga perlu memberikan bukti sebagai menyokong kenyataannya itu.
Nizam berkata, Yeoh perlu sedar kerana kekayaan yang diperolehinya itu datang daripada pembayar cukai yang diberi oleh kerajaan.
“YTL Corp Bhd (YTL) merupakan sebuah syarikat yang mendapat kekayaan daripada projek kerajaan dan tidak menyalurkannya secara seimbang kepada rakyat.
“Sumbangan YTL sangat kecil kepada negara berbanding keuntungan berbilion ringgit yang mereka perolehi,” dakwanya.
Mohd Nizam berkata demikian pada sidang media di pejabatnya dekat Bangsar di sini pada Khamis.
Dalam pada itu Mohd Nizam juga menjelaskan, dalam laporan 2013, YTL Corp mencatatkan pendapatan berjumlah hampir RM20 bilion dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.8 bilion.
Ekuiti yang diagihkan kepada pemilik syarikat induk pula berjumlah RM13.3 bilion.
“Jadi apa yang rakyat dan Bumiputera peroleh daripada YTL daripada segi ekuiti bernilai lebih RM13 bilion,” katanya.
“YTL harus sedar segala keuntungan dan kekayaan yang dikaut lebih daripada 13 projek kerajaan datangnya daripada dompet pembayar cukai dengan niat untuk berkongsi kekayaan itu bersama rakyat,” katanya.
Katanya, jurang pendapatan antara tiga kaum utama juga berpunca daripada sikap membolot yang diamalkan oleh YTL sendiri.
“Yeoh dan YTL perlu cermin diri sendiri, apa yang mereka lakukan untuk menangani jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Nizam juga mempertikaikan keistimewaan yang diperoleh YTL berbanding Bumiputera yang masih bergelut dalam perniagaan serta terpaksa meminjam untuk berniaga.
“Bagaimana sebuah syarikat seperti YTL boleh menerima kontrak berbilion ringgit sementara syarikat Bumiputera kecil dan sederhana sukar untuk mendapat kelulusan pinjaman,” katanya.
Yeoh dalam majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia kali ke-7 baru-baru ini dilapor telah mengeluarkan kenyataan, tidak wujud isu kroni dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri ketika itu) sehingga membolehkannya hidup mewah dengan memperoleh projek Tenaga Nasional Berhad, sedangkan hakikatnya peranan itu dimainkan syarikatnya yang ternyata lebih inovatif dalam melaksanakan projek diberi kerajaan.
Yeoh dalam majlis itu juga berkata, Malaysia perlu bebas daripada halangan seperti kapitalisme kroni dan isu perkauman atau retorik agama jika mahu terus bersaing dan masyhur di peringkat global.
Kenyataan tersebut seolah-olah merujuk kapitalisme kroni itu berlaku dalam kerajaan pada ketika ini.
Susulan kenyataan itu banyak pihak, khususnya UMNO telah mengecamnya.
Malah, semalam, YTL Power International Bhd. memutuskan untuk menarik diri daripada projek kontroversi janakuasa Track 4A di Johor.
Keputusan tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan kenyataan awal Yeoh sebelum ini.
Bagaimanapun, YTL berkata, langkah itu bertujuan mengelak kesangsian terhadap komitmen ketelusan dan urus tadbir Putrajaya.