New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/07/lelaki-pukul-bekas-pengurus-alleycats-hingga-mati-dicari-polis/
Lelaki pukul bekas pengurus Alleycats hingga mati dicari polis
Polis sedang mencari seorang lelaki berketurunan Tionghua bertubuh sasa bagi membantu siasatan kes kematian seorang promoter seni, pemuzik dan bekas pengurus kumpulan muzik popular Alleycats, Stephen Joseph Sandanasamy.
Joseph, 54, dipercayai mati akibat dipukul dalam satu perselisihan faham berebut tempat meletak kenderaan (parkir) dengan lelaki yang dicari itu.
Menurut maklumat polis, berdasarkan maklumat laporan yang dibuat isteri mangsa, Ooi Goek Kee, 53, ketika kejadian suspek memakai kemeja-T dan kelihatan kemas.
Pergaduhan itu berlaku di kawasan parkir di hadapan sebuah medan selera di Jalan SS2/63, berhampiran Balai Polis Sea Park kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu.
Kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap tindakan isteri mangsa, yang berdiri di sebuah petak parkir bagi membolehkan Joseph yang sedang memandu untuk membuat pusingan U meletakkan kereta mereka di situ, manakala suspek juga mahu meletakkan keretanya di lot yang sama.
Mangsa yang tiba kemudian ternampak suspek sedang bertengkar dengan isterinya turun dari kereta untuk mendapatkan kepastian apa yang sedang berlaku.
Namun suspek menjadi bertambah agresif lalu menumbuk dan memukul mangsa di dada serta muka hingga terjatuh.
Isteri mangsa kemudiannya berusaha meleraikan pergaduhan sebelum mereka beredar dari lokasi kejadian.
Ketika dalam perjalanan, mangsa mengadu sukar bernafas lalu meminta isterinya memandu dan membawa beliau ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Tiba di PPUM, mangsa yang sudah tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke wad kecemasan namun kemudiannya disahkan telah meninggal dunia pada jam 3.56 pagi, Isnin lalu.
Pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami luka dan pendarahan di paru-paru dan kecederaan berkenaan disahkan akibat terkena pukulan objek tumpul.
Ketika kejadian, suspek dikatakan memandu sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih.
Pergaduhan itu turut disaksikan peniaga dan orang ramai di medan selera berhampiran namun tiada yang mencatat nombor pendaftaran kereta yang dipandu suspek.
Bagaimanapun, terdapat kamera litar tertutup yang dipasang oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di kawasan berkenaan dan polis kini sedang mengkaji video rakaman CCTV berkenaan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan orang-orang yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966-2222.