New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/12/nelayan-tidak-terjejas-di-esszone/
Nelayan tidak terjejas di Esszone
KUALA LUMPUR, 12 November:
Pendapatan nelayan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) tidak terjejas ekoran daripada perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan terbabit.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.
Beliau berkata, sepanjang tempoh perintah berkurung itu, nelayan boleh memohon permit daripada ketua polis daerah masing-masing untuk turun ke laut.
“Sejak 19 Julai hingga 9 Oktober lalu, sebanyak 1,697 permit telah dikeluarkan kepada nelayan supaya mereka masih boleh mendapat sumber pendapatan dalam tempoh perintah berkurung.
“Kerajaan sentiasa prihatin dengan permasalahan nelayan, oleh itu kami telah memberikan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi setiap nelayan dan ia akan dinaikkan ke RM300 sebulan,” katanya.
Kerajaan katanya turut memberi insentif pendaratan ikan kepada nelayan bergantung kepada jenis ikan.
“Nelayan akan diberikan RM0.20 bagi sekilogram ikan laut dalam manakala RM0.10 bagi sekilogram ikan laut cetek,” katanya.
Menurutnya, perintah berkurung yang dikeluarkan tidak menjejaskan harga barangan di Sabah kerana buat masa ini semuanya masih terkawal.
Shahidan turut menambah bahawa sejak perintah berkurung itu dilaksanakan, industri pelancongan di negeri itu kian meningkat kerana pelancong berasa lebih selamat.
“Kadar jenayah di Sabah juga kian berkurangan semenjak perintah berkurung itu dilaksanakan. Itu menunjukkan bahawa perintah berkurung tidak memberikan kesan negatif kepada negeri itu,” katanya.