New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/13/najib-sambut-baik-penubuhan-yayasan-pesara-kerajaan/
Najib sambut baik penubuhan Yayasan Pesara Kerajaan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa gembira kerana dapat bersama sebahagian besar dari pesara kerajaan dalam Majlis Pelancaran Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Perasmian Mesyuarat Agung tahunan ke-4 Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan penubuhan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia kerana jumlah pesara yang ada pada masa ini adalah berjumlah 750,000 dan setiap tahun adanya sejumlah 21,000 pesara kerajaan yang bakal bersara.
“Di masa hadapan adanya hampir 1.16 juta golongan pesara dan mereka merupakan golongan yang besar, bukan sahaja dari segi saiznya tetapi mereka juga yang boleh menentukan hala tuju masa hadapan kita. Bersama-sama berdiri teguh dengan kerajaan, Insya-Allah kita akan jadi lebih kuat.
“Saya bersetuju dengan penubuhan yayasan ini sebab kerajaan sedar yang kita perlu mewujudkan sebuah organisasi pesara yang dapat memperjuangkan golongan ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Mengulas lanjut, Najib memberitahu bahawa, penubuhan ini bukan sahaja akan memperjuangkan kebajikan pesara dari segi menambahkan kadar pencen mereka malah yayasan ini juga akan memainkan peranan sebagai perantara yang boleh diajak berunding bersama kerajaan supaya kebajikan pesara kerajaan dapat dipertimbangkan mengikut keadaan semasa.
“Skim pencen kerajaan antara yang terbaik di dunia sebab itu pada masa kini ramai yang berminat untuk berkhidmat sebagai penjawat awam. Untuk jawatan Pegawai Pentadbir (PTD) sahaja, kerajaan menerima hampir 100,000 permohonan baru dan yang layak hanya 70,000 sahaja yang berjaya mengisi 300 jawatan PTD yang dibuka.
“Ada dalam kalangan mereka ini berkhidmat dengan syarikat swasta tetapi mereka juga berminat nak bekerja dengan kerajaan. Kalau sistem pencen kita tak baik, saya rasa sudah tentu tak ramai yang berminat untuk menyertai kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kalau hasil kerajaan bertambah, kebajikan penjawat awam akan sentiasa diambil berat.
“Kalau pertumbuhan ekonomi negara bertambah dan boleh menampung segala perbelanjaan negara, kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan menambah pencen penjawat awam.
“Kalau tidak ada hasil yang bertambah, agak sukar untuk kita menghadapi tekanan ekonomi dan tak mahulah berlaku seperti Greek. Di mana, hasil mereka tidak cukup untuk membayar operasi pentadbiran mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan juga mengambil berat berkenaan soal kebajikan, perumahan dan perkhidmatan kesihatan yang boleh diberikan kepada golongan pesara agar mereka berpeluang bersara dengan lebih selesa.
“Saya lebih suka pesara mencari saya daripada mencari orang lain dan berharap agar pesara akan mewujudkan hubungan yang lebih mesra dengan kerajaan.
“Saya dapat cam mereka yang bersama-sama saya dalam kerajaan walau warna rambut tidak seperti dulu lagi. Ada yang beri khidmat hampir 30 hingga 40 tahun tetapi matlamat mereka bukan sekadar makan gaji atau cari pekerjaan tetapi ada tujuan lain iaitu tak kira kecil atau besar sumbangan mereka, pesara masih lagi menyumbangkan sesuatu kepada negara dan masa hadapan negara,” katanya.