New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/04/25/saiful-apek-dan-tiga-pekerja-didenda-rm2500/
Saiful Apek dan tiga pekerja didenda RM2,500
Shah Alam, 25 April
Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek bersama tiga pekerjanya masing-masing dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengambil dadah jenis kanabis, empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada 30 September lalu.
Beliau turut memerintahkan semua tertuduh diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun.
Pada 30 September 2013, majistret, Ahmad Solihin Abd Wahid melepas dan membebaskan Saiful Apek, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 45 tahun, serta tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions, iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 31 tahun; Shaiful Baharom, 27 tahun; dan Noremy Mohamad, 31 tahun, daripada pertuduhan selepas berpuas hati pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret sama melepas dan membebaskan kesemua tertuduh tanpa dipanggil membela diri, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan pada 22 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan kesemua tertuduh membela diri, selepas membenarkan rayuan itu.
Keempat-empatnya didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, pada jam 11 malam, 12 Jun 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.











