New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/25/syed-azmi-terima-ancaman-bunuh/
Syed Azmi terima ancaman bunuh
PETALING JAYA, 25 Oktober:
Tindakan Syed Azmi Alhabshi, penganjur program ‘I want to touch a dog’ (saya mahu sentuh anjing) meninggalkan sidang akhbar tersebut tanpa menjawab soalan wartawan adalah ekoran faktor keselamatan terhadap dirinya.
Peguam yang mewakili Syed Azmi, Syahredzan Johan berkata pihak penganjur dimaklumkan ada unsur ugutan terhadap Syed Azmi yang dibimbangi akan mengancam nyawanya.
“Kami difahamkan Syed Azmi mungkin akan diancam di tempat di mana dia mengadakan sidang akhbar hari ini.
“Syed Azmi juga rasa bimbang dan sebab itu dia meninggalkan majlis ini dengan tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar berkenaan.
Sementara itu, rakan penganjur Norhayati Ismail pula menjelaskan, pihaknya tidak mengetahui berlaku aktiviti menyentuh anjing oleh sebilangan masyarakat Islam yang hadir pada program itu.
Dia mendakwa tidak nampak ada wanita dan lelaki Melayu memegang anjing pada program tersebut.
“Kita hanya beri pendedahan kepada orang ramai terutama umat Islam untuk tidak takutkan anjing bukan tujuan untuk menyentuh atau memegangnya.
“Ustaz Iqbal yang diundang untuk memberikan penerangan pada program itu juga tidak nampak ada orang Islam menyentuh dan memeluk anjing. Sebab itu beliau tidak menegurnya,” katanya yang turut memberitahu terdapat 20 sukarelawan yang membuka kaunter untuk umat Islam bersertu selepas memegang anjing.
Dalam perkembangan sama, beliau dilihat seolah-olah menuding jari kepada sesetengah agensi media yang cuba memperbesar-besarkan perkara itu.
Ketika ditanya berkenaan gambar pengunjung Islam yang tersiar di internet memegang anjing pada program itu beliau berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi media.
“Gambar-gambar yang tersiar di laman Facebook penganjur juga bukan kami yang masukkan sebaliknya ia mungkin dilakukan oleh media atau pengunjung yang hadir pada program itu,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, penganjur juga tidak bercadang untuk mengadakan program seperti itu lagi ekoran tidak mahu ada pihak yang akan salah faham dengan apa yang dibuat.
Syed Azmi mengadakan sidang akhbar di Kelab Golf Diraja Selangor, Tropicana di sini, untuk menerangkan program yang diadakan itu adalah merupakan satu proses pembelajaran untuk menghormati anjing sebagai makhluk Allah yang kian dipandang hina dan didera oleh masyarakat pada hari ini.
Namun, beliau mengaku terdapat kelemahan pada program yang dianjurkannya baru-baru ini.
Namun katanya, beliau dengan hati yang ikhlas menganjurkan program itu kerana Allah S.W.T dan bukan dengan sebab mahu memesongkan akidah, menukar hukum hakam agama, mempersendakan ulama atau menggalak liberalisme.
Beliau menegaskan, program yang diadakan itu tidak sama sekali menggalakkan anjing dijadikan sebagai binatang peliharaan.
Katanya, perkara tersebut telah dinyatakan di dalam laman sosial Facebook penganjur sejak 11 September lepas.
“Mengenai kelulusan-kelulusan rasmi bagi menganjurkan program ini, kami telah bertemu dan berbincang serta diberikan surat menerangkan garis panduan pengendalian anjing menurut Islam oleh Mufti Selangor (Datuk Abdul Majid Omar) sebagai panduan untuk melaksanakan program ini,” katanya.
Tambah beliau, segala pencerahan mengenai hukum-hakam pengendalian anjing telah diterangkan semasa program tersebut termasuk kaedah sertu yang turut dikendalikan secara amali.
“Terima kasih diatas komen-komen yang diterima. Ini adalah proses pembelajaran bagi saya juga. Saya dengan sejujurnya tidak mempunyai apa-apa niat untuk mengguris sensitiviti rakyat Malaysia,” ujarnya yang kemudian tergesa-gesa meninggalkan sidang media tersebut.