Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?
Sebenarnya sang ketam tidak pernah menyuruh dan mengajar anaknya berjalan betul kerana sang ketam cukup yakin bahawa caranya berjalan, sebagaimana cara nenek moyang kepada nenek moyangnya, dan cucu cicit kepada cucu-cicitnya berjalan, telah betul dan sempurna. Sebaliknya bangsa ketam pulalah yang merasa hairan dan takjub melihat manusia itu sendiri yang tidak habis habis, malah bertambah-tambah dengan ajaran dan peraturan yang pelbagai macam doktrin-doktrin, rukun-rukun, fatwa-fatwa sampailah kepada akta-akta, pekeliling-pekeliling dan memo-memo. Manusia telah menghabiskan waktunya untuk membuat segala macam peraturan dan mengaws pelaksanaan peraturan-peraturan; dari peraturan lalulintas jalan raya; peraturan datang ke pejabat dan peraturan berpakaian, sampailah kepada peraturan-peraturan bercakap di Parlimen dan di mahkamah, peraturan menyekatkan air dan menggunakan elektrik, serta peraturan menyimpan rambut di kepala bagi kepala berambut.
Kehairanan sang ketam itu kian bertambah bila melihat manusia yang tidak pernah berjalan betul itu menghabiskan waktunya dengan mendandan muka, memelihara rambut, mengenakan pakaian, malah lebih aneh lagi menahan makan dan minum untuk menguruskan badan, menelan kapsul dan jamu makjun untuk memperkuatkan bahagian-bahagian anggots tubuh, mengumpul harta dan ringgit, menentukan jenis darah dan keturunan serta status dan gelaran, malah sangat teliti mencukur bulunya disamping berkelahi dan berbunuhan, menindas dan menipu sesamanya. Soalnya di sini, siapakah sebenarnya yang mengajar dan menyuruh anaknya berjalan betul, ketam atau manusia?