New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/13/ahli-perniagaan-singapura-disiasat-kerana-cuba-beli-cecair-cuci-black-money/
Ahli perniagaan Singapura disiasat kerana cuba beli cecair cuci 'black money'
KUALA LUMPUR, 13 April:
Seorang ahli perniagaan Singapura berusia 54 tahun akan disiasat dan kemungkinan akan didakwa, selepas dia membuat laporan polis mengenai penipuan penjualan sejenis cecair untuk mencuci wang kertas ‘black money’.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon, ahli perniagaan itu membuat laporan polis pada 7 April selepas dia bertemu dengan beberapa suspek di sebuah hotel di ibu kota.
“Dia mahu membeli cecair itu dan suspek meminta dia membayar AS$70,000 (RM252,000). Pada 7 April mereka (supek) menunjukkan ahli perniagaan itu bagaimana mencuci wang hitam menggunakan cecair berkenaan.
“Hari berikutnya, dia bertemu dengan suspek di hotel yang sama sekali lagi dan bersetuju membayar AS$70,000 kepada mereka.
“Suspek mengambil wang berkenaan dan meminta ahli perniagaan itu menunggu di bilik hotel sehingga mereka datang dengan membawa cecair itu, tetapi mereka tidak datang,” kata Law.
Selepas menunggu, menurut Law, suspek memberitahu ahli perniagaan itu supaya meninggalkan bilik hotel secepat mungkin dan mendakwa bahawa pihak polis mengetahui mengenai aktiviti mereka.
“Tetapi mangsa gagal menemui atau menghubungi suspek untuk mendapatkan cecair yang dijanjikan kepadanya.”
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya menahan tiga suspek pada 10 April di Dang Wangi selepas mereka memulangkan kembali kereta sewa, di mana ketiga-tiga mereka terus dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
“Selepas penahanan mereka, pihak polis menyerbu tiga apartmen di Ampang dan menemui beberapa bungkusan wang Ringgit Malaysia palsu, dolar Singapura dan Amerika Syarikat bersama peralatan untuk mencetak wang palsu,” tambah Law.
Law berkata lagi, jumlah wang palsu yang ditemui berjumlah lebih RM1 juta dan ketiga-tiga suspek, dua daripada mereka dari Guatemala dan seorang dari Cameroon, kini ditahan di lokap Dang Wangi hingga 14 April.
Apabila ditanya sama ada suspek masuk secara haram ke negara ini, Law berkata mereka mempunyai dokumen dan masuk dengan cara yang sah tetapi polis tetap akan menyiasat bagaimana mereka masuk ke negara ini.
“Mangsa akan juga disiasat atas sebab mengapa dia mahu membeli cecair berkenaan.”
Menurut Law, ini merupakan kes kedua yang dilaporkan melibatkan wang palsu, tahun ini.






