New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/04/desak-pembekal-cina-turun-harga-dianggap-perkauman/
Desak pembekal Cina turun harga dianggap perkauman?
KUALA LUMPUR, 4 Februari:
Majlis Pemikir Muda (Pemikir) mempertahankan sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mendakwa selama ini kuasa pemborong dan peniaga berada dalam tangan kaum Cina.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed berkata apa yang dibuat Ismail Sabri sangat tepat memandangkan beliau tujukan perkara itu terus kepada pihak bertanggungjawab.
Katanya, isu pedagang dan pembekal barang keperluan yang memang kebanyakannya dimonopoli kaum Cina mesti diselesaikan dengan tegas dan cepat kerana rakyat tidak mendapat manfaat daripada penurunan harga barangan.
“Dalam hal ini tidak ada unsur perkauman. Ini adalah isu pedagang dan pembekal. Dan memang kebanyakannya adalah bangsa Cina. Adakah usaha mendesak pembekal Cina menurunkan harga barangan mereka itu dianggap perkauman?
“Ini usaha yang memang perlu dibuat oleh seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat dan pengguna melebihi kepentingan peribadi. Ismail Sabri pastinya tahu risiko yang bakal diambil tetapi beliau lakukan itu demi kepentingan semua rakyat.
“Jika pemborong atau peniaga ini akur untuk menurunkan harga barangan mereka, pastinya semua pengguna termasuk yang berbangsa Cina, India dan lain-lain kaum akan menikmati kebaikannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Isnin lalu, kenyataan Ismail Sabri berkaitan boikot peniaga Cina yang menjadi viral di laman sosial dan mencetuskan kontroversi merupakan pandangan peribadinya dan bukan ditujukan terhadap semua kaum Cina, tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan.
“Tentang Melayu untuk boikot peniaga Cina itu saya respon kepada FB yang mana mereka marah-marah kepada peniaga-peniaga Cina yang degil tidak mahu turunkan harga.
“Jadi prinsipnya sama iaitu mereka majoriti dan gunakan kuasa majoriti dan tidak hanya merungut dan bercakap dalam FB semata-mata,” jelas Ismail Sabri dalam satu kenyataan menerusi mesej aplikasi WhatsApp.
Dr Suleiman menjelaskan Pemikir Muda tetap berdiri teguh di belakang Ismail Sabri dalam hal ini.
“Tindakannya bukan membuta tuli. Dia berani menyatakan kebenaran.
“Ini kerana usaha dan teguran keras yang beliau lakukan adalah untuk manfaat semua rakyat, tidak mengira bangsa, agama dan kedudukan,” katanya lagi.









