Jika Musa membelah laut dengan tongkatnya, Daud mengkhayal burung-burung terbang dengan merdu suaranya, Sulaiman mempesona Balqis dengan magisnya, Umar membebas BaitulMaqdis dengan tiga belas tampalan pada bajunya, aku juga berkehendak melaku sesuatu.
Aku bukan Musa, bukan Daud, bukan Umar, jauh sekali Sulaiman. Aku tak perlu angin, burung, pedang, mergastua, flora, fauna, Ifrit, atau apa-apa perantaraan metafora mahupun literal. Aku hanya perlukan telefon.
Dan kredit panggilan.
Aku mahu masuk dalam hati dia, dengan diam dan sungguh berhati-hati -- barangkali berjinjit seakan-akan pencuri -- menggodam kewarasan dia dengan senyuman paling memukau, lalu dengan suara yang terketar-ketar seperti menanggung berat kerahsiaan sesuatu khabar, beritahu dia dengan bunyi yang hampir-hampir kedengaran berbisik, “Aku jatuh cinta.”
Ia satu peperangan. Dan tentera aku adalah imej-imej maya bersenapang-kan persepsi tentang diri aku yang berlegar dan mengepung pemikirannya.
Rancangan aku, sejurus sahaja sebelum dia sempat berkata apa-apa -- kemungkinan terbesar reaksi dia adalah tergamam terkejut -- aku akan terus segera menyambung:
“Dengan kamu.”















