Aku selalu cakap yang aku ini jahil, yang aku tak sepatutnya dapat apa yang aku ada hari ini, sehingga aku lupa Tuhan tak memilih dalam memberi. Tuhan tahu apa yang selayaknya untuk kita.
Kasih sayangNya terlalu luas, Dia penuh dengan keajaiban. Dia maha besar. Betapa dia maha mendengar, kerana di setiap persoalanku, Dia hadirkan jawapan dalam waktu yang paling tepat.
Benarlah Dia tak jauh. Dia selalu ada, cuma aku sahaja yang kadang lupa.
Dan dalam aku masih merangkak, ingin bertatih berjalan ke arahNya, Dia sudah pun berlari mendapatkan aku. Dengan tautan hati yang benar-benar jadikan aku orang yang hatinya, mudah terusik.
Aku masih ingat waktu aku berdoa meminta Tuhan menunjukkan sebuah keajaiban dari tahun-tahun yang lalu, Dan hari ini aku diberi peluang untuk menyaksikannya.
Bukan, bukan si dia yang Tuhan beri, tapi sesuatu yang lebih indah menurut seorang aku.
Nukilan ini, bukan untuk menunjuk, tapi ia disini untuk aku jadikan sebuah peringatan dan kenangan agar aku jadi manusia yang tak mudah lupa diri.
Agar aku ingat betapa susahnya sebuah istiqomah itu, bila kau dikelilingi dengan orang yang lebih sudi mengejar dunya. Kerana katanya, dalam generasi sekarang ini, duit , pangkat, harta, lebih bernilai dari semua yang ada. Allahu’akhbar.
Kau akan mudah tersasar balik ke jalan lama, tanpa adanya sokongan dari orang yang terdekat. Kau akan rasa susahnya istiqomah itu bila ada orang sekeliling kau cakap “alaaa itu kan antara kau dengan Tuhan” setiap kali kau terdetik untuk melakukan sesuatu yang dimurkaiNya.
Walhal ada orang pernah berkata, buatlah apa yang Allah suka, nanti Dia kasi apa yang Dia suka. Subhan’Allah.














