Kisah benar ini aku ceritakan kembali sewaktu aku masih lagi bersekolah agama sebelah pagi dalam Darjah 6 di Sekolah Agama Kangkar Tebrau, JB. Pagi itu berlakulah sebuah tragedi tetapi tak berapa menyedihkanlah. Malah tak sedih langsung ! Makin ketawa lagi ada. Ia berlaku kepadaku & beberapa orang rakanku & hero utama, si Selamat.
Nak dijadikan cerita, pagi itu aku, Irwan, Kak Nor & classmate yang lain sedang diajar oleh guru kami, Cikgu Thik. Entah bagaimana, mungkin disebabkan sekolah kami yang tiada ciri-ciri kawalan kemasukan pendatang asing selain daripada pelajar & guru, kami telah didatangi oleh seorang kanak-kanak istimewa bernama Selamat.
Selamat adalah penghidap sindrom down tapi dia bukanlah asing di kalangan kami. Boleh kata satu kampung kenal dengan Selamat anak Mak Tom yang ada kedai runcit tu. Kebetulan pula ada saudaranya iaitu Kak Nor di kelas kami jadi Selamat pun takdelah segan-silu nak join kami belajar konon-kononnya. Dengan kepakaran Cikgu Thik telah berjaya menyelamatkan keadaan. Keadaan yang huru-hara sekejap dapat ditenteramkannya. Cikgu Thik minta agar jangan sesiapa pun menggangu Selamat. Kak Nor pula terpaksalah mengorbankan segala harta-benda dalam pencil-casenya kepada Selamat berserta sebuah buku tulis supaya Selamat dapat menulis & melukis apa aje yang dia suka asalkan Selamat tidak menggangu kami.
Bila kelas tamat, aku,Irwan & Kak Nor berjalan balik bersama-sama sambil berbual-bual. Kami melalui lorong belakang sebuah rumah kedai Cina.Yang tak bestnya, adalah pula seekor anjing keparat yang dipelihara tuan punya kedai berkenaan. Apa lagi, pantang nampak kami lalu, mula dia menyalak macam nampak pencuri saja gayanya. Rasa macam nak sepak anjing tu pun ada jugak tapi karang tak pasal kaki aku kena samak. Kalau setakat kena samak takpe lagi, kalau dibuatnya kaki aku yang dibaham, tak pasal!
Kami tertanya-tanya juga mulanya kenapa anjing ni tak dirantai? Risau kalau terlepas. Walaubagaimanapun, kami cubalah juga berlari seorang demi seorang. Alhamdulillah! Lepas! Kami teruskan perjalanan pulang. Tapi entah bagaimana, ada lagi satu story yang tak best rentetan kepulangan kami itu. Ada pulak suara terpekik terlolong memanggil kami. Macam kenal je suara itu. Laa !!! Rupanya si Selamat & basikalnya tak berjaya melepasi lorong berkenaan.
Kami melambai-lambai Selamat memintanya agar dia mengayuh basikalnya sepantas yang mungkin bagi mengelak dikejar anjing berkenaan. Payah jugak nak pujuk si kanak-kanak istimewa sorang ni. Degil tu ! Pujuk punya pujuk, dia cuba mengayuh basikalnya perlahan-lahan. Menyedari dia tak mampu lepas dan oleh kerana ketakutan, dia tinggalkan basikalnya dan berlari ke arah kami. Kami memberi sokongan moral kepadanya agar dia boleh berlari sepantas yang mungkin. Anjing tadi dah standby untuk menyakat si Selamat. Selamat cuba sedaya-upaya berlari. Tau-tau jelah macamana seorang kanak-kanak istimewa membuat aksi larian pecut. Selipar pun turut dibuangnya.
Kami terus terpekik terlolong ke arah Selamat. Sedang si Selamat struggle untuk mengerah segala kekuatan yang ada, lalu saja Selamat di kedai tu, anjing tu pun apa lagilah terus mengejar Selamat. Aduss! Kami dah membayangkan Selamat akan menerima nasib malang angkara anjing gila itu.Tanpa membuang banyak masa lagi meluru saja anjing itu mendapatkan si Selamat. Dalam hatiku berkata,”Ah! Selamat mungkin takkan Selamat!” Kami dah nak nangis dah camana nanti nak bagitau kat makbapak budak ni. Tentu haru jadinya. Sekilas terbayang juga apa yang bakal berlaku hari ini akan menjadi salah satu bahan laporan di dada akhbar pagi esok. Oh tidak!
Dalam pada hati kami cemas berbaur panik, entah bagaimana ada sesuatu berlaku di luar jangkaan kami. Aku sendiri pun macam tak percaya. Irwan & Kak Nor jua berasa hairan bin ajaib sejenak. Kalau Siti Nurhaliza menyanyi lagu Percayalah pun takkan percaya dengan apa yang kami saksikan.
Ketika Selamat berlari, anjing berkenaan terus saja mengejarnya dari belakang kedai. Rasa macam nak tutup saja mataku dari melihat apa yang mungkin bakal berlaku. Rasanya dah tau apa ending Selamat ni nanti. Anjing itu berlari mengekori Selamat. Taulah macamana pantasnya seekor anjing mengejar seorang kanak-kanak istimewa.
Sejurus anjing itu cuba menerkam Selamat, larian Selamat terhenti. Selamat memalingkan dirinya dengan kedua-dua tangannya menahan serangan anjing berkenaan. Terjerit kami di hujung jalan.”SELAMAAAAAAAT!!!.. AAAAAAHHHHHHH!!!! TIDAAAAAAAAKKK!!!”
Selamat cuba menahan anjing berkenaan namun apakan daya, anjing itu berlari terlalu pantas. Akhirnya.. larian anjing itu terhenti sebelum sempat ia menerkam Selamat. Tak semena-mena ia melutut di hadapan Selamat bagai meminta makan di hadapan tuannya. Tidak sedikit pun permukaan kulit Selamat disentuh. Di hadapan Selamatlah ia berhenti berlutut sambil menjelirkan lidahnya. Magic siot! Selamat seolah-olah seorang polis trafik yang telah menahan mat rempit. Kami pelik. Kalau kami di tempat Selamat agaknya mungkin kaki atau tangan kami sudah dibaham akan tetapi Selamat dengan selamba boleh menahan anjing yang hendak menerkamnya.
Setelah gerak-gari kedua-duanya terhenti, Selamat dengan segala hormat dan riaknya berjalan mendapatkan kami dengan berkaki ayam sambil tersengih.. Selipar entah kemana dah ! Anjing tadi kembali ke tempat asalnya seolah-olah bengang aksinya tadi tidak memberi apa-apa effect kat Selamat. Menjadi jugak lawak stunt si Selamat hari tu.
Dengan apa yang aku saksikan tu, bukan saja menakjubkan malah aku sendiri terfikir, aku kagum dengan kebesaran Tuhan. Kita ni walaupun zahirnya sempurna, tapi masih ada kekurangannya tapi insan yang cacat seperti Selamat, Allah kurniakan kelebihan yang kita sendiri tak tahu & tak nampak. So, janganlah dibanding-bandingkan. Tambahan pula segala kejadian adalah kehendak tuhan yang maha esa. Kita hanya merancang.
Kisah ini tidak aku bukukan mahupun aku publish di mana-mana akhbar atau majalah walaupun aku ni seorang penulis amatur untuk majalah lawak G3 walau sebelum ini terlintas juga rasa nak aku publishkan. Aku tak mahu langkah aku nanti bagai mempersenda. Namun coretan ini hanyalah sebagai panduan untuk semua.
Kini sudah 18 tahun berlalu. Kali terakhir aku terserempak dengannya di Aeon Tebrau City. Ketika itu Selamat sedang merenung menu di kaunter KFC. Selamat sudah pandai bergaya. Namun kisahnya kini hanya tinggal kenangan. Selamat sudah tiada lagi. Beliau telah pulang ke Rahmatullah dua tahun lepas setelah terperangkap di dalam kebakaran di rumahnya di Kangkar Tebrau yang telah meragut nyawanya sendiri. Sesungguhnya tuhan lebih menyayanginya. Al-fatihah buatnya.