New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/29/orang-ramai-boleh-berbasikal-di-kl-mulai-tahun-hadapan/
Orang ramai boleh berbasikal di KL mulai tahun hadapan
KUALA LUMPUR, 29 November:
Laluan basikal menyelusuri pinggir Sungai Klang dari pusat beli-belah Midvalley ke Dataran Merdeka, dijangka dibuka kepada orang ramai, awal tahun depan.
Sumber Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dihubungi berkata, laluan sepanjang 5.5 kilometer itu sudah 90 peratus siap.
Sementara itu, laluan basikal dari Wangsa Maju ke Taman Melati dan Batu Muda masih diperingkat pertengahan, dan siap 60 peratus.
“Kedua-dua laluan itu dijangka akan dibuka pada pertengahan tahun hadapan,” katanya kepada The Rakyat Post.
Laluan berbasikal antara Midvalley dan Dataran Merdeka akan dibuka, awal tahun hadapan. – Foto TRP/Zalikha Ameera
Sementara menunggu dua laluan itu siap, DBKL akan membuka laluan Midvalley ke Dataran Merdeka dahulu untuk kegunaan orang ramai.
Katanya, diharapkan dengan pembukaan laluan basikal itu, masyarakat di ibu kota dapat memanfaatkannya sebaik mungkin dengan memperbanyakkan aktiviti bersukan.
“Tujuan DBKL mewujudkan laluan basikal di kawasan bandar raya ini ialah mahu menjadikan menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘bandar raya mesra basikal’ selain menggalakkan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan alternatif.
Diharapkan, dengan cara ini, orang ramai akan mengambil alternatif untuk berbasikal dan sekaligus dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan ini,” katanya.
DBKL juga akan berbincang dengan pihak polis bagi mewujudkan peraturan khusus pengguna basikal di bandar raya untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.
Antara aspek yang akan disentuh ialah tatatertib pengguna serta pemasangan lampu pada basikal untuk mengelak kemalangan.
Tempat meletak basikal turut disediakan untuk kemudahan orang ramai yang mahu berbasikal. – Foto TRP/Zalikha Ameera
“Soal keselamatan laluan yang digunakan juga akan dinilai,” katanya.
DBKL sedang membangunkan tiga laluan aktiviti berbasikal, keseluruhannya sepanjang 12 kilometer, merangkumi Mid Valley-Dataran Merdeka, Wangsa Maju-Taman Melati dan Taman Batu Muda.
DBKL juga akan menyediakan papan tanda secukupnya selain tempat rehat di tiga laluan basikal berkenaan.
Anggaran kos keseluruhan projek itu ialah RM3 juta.