New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/16/cabaran-doris-agar-polis-tangkapnya-jika-boleh-disahut/
Cabaran Doris agar polis tangkapnya jika boleh disahut
KOTA KINABALU, 16 Februari:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Doris Jones atas dakwaan menghasut untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia menerusi laman media sosial Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menjejaki Doris yang difahamkan berada di luar negara.
“Kita akan berhubung dengan pihak Interpol sebagai usaha mencari dan menahan Doris yang dikehendaki pihak keselamatan negara berikutan aktiviti berbaur hasutan yang dilakukannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Op Selamat Keenam sempena perayaan Tahun Baru Cina, hari ini.
Menurutnya, waran tangkap terhadap Doris telah dikeluarkan pada Januari lalu oleh Mahkamah Majistret Tuaran dan menerusi waran itu Prosedur Operasi Standard (SOP) secara automatik terlaksana dengan semua pintu masuk akan mendapat maklumat mengenai waran itu.
Waran tangkap itu dikeluarkan bagi memerintahkan Doris untuk hadir di mahkamah pada hari ini bagi menjawab pertuduhan terhadap beliau di bawah Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, Jalaluddin percaya gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) itu telah didalangi oleh parti pembangkang.
Doris yang sebelum ini mendakwa berada di Sweden kini mendakwa dia merupakan warga Sabah yang menetap di United Kingdom dan bekerja di bidang perundangan melalui status di akaun Facebooknya.
Portal berita bahasa Melayu milik The Star, mStar hari ini melaporkan, Doris tidak berniat untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi tuduhan menghasut.
Doris dikatakan menghubungi The Star pada Ahad (semalam) selepas wartawan akhbar itu cuba mencarinya menerusi laman Facebook miliknya.
Portal mStar melaporkan Jones mendakwa dia tidak mengetahui mengenai saman yang dikeluarkan terhadapnya pada Januari lalu agar hadir di mahkamah, yang membawa kepada pengeluaran waran tangkap oleh polis pada Rabu lalu.
Katanya lagi, terpulang kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menggunakan saluran yang betul bagi mengekstradisinya, namun mengelak memberitahu lokasi sebenar ketika ditanya.
“Mereka boleh cuba untuk mendapatkan saya di United Kingdom, Kesatuan Eropah (EU) atau mungkin di Australia. Mereka boleh cuba.
“Saya tidak fikir Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan EU,” kata aktivis SSKM berusia 46 tahun itu.
Doris atau nama sebenarnya Doris Yapp Kim Youn yang tercatat pada waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berasal dari Labuan.
Beliau bagaimanapun enggan menjawap ketika ditanya sama ada masih lagi warganegara Malaysia.
“Saya tidak mahu menjawab soalan itu. Saya dari Sabah,” katanya seperti yang dilapor mStar.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 14 aktivis SSKM ditahan oleh polis di sekitar Tuaran dan Kota Kinabalu kerana dikatakan mengedarkan risalah menghasut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia dan cuba mendapatkan tandatangan daripada orang ramai.
Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.