Orang berkata dendam itu indah. Revenge is sweet.
Semalam merupakan episod terakhir saya menonton siri Revenge (ABC) untuk musim keempat. Ia merupakan antara TV drama yang sangat-sangat saya tunggu, terutama ketika musim pertama dan kedua. Malangnya musim ketiga saya tidak menontonnya kerana tiada astro kerana dipindahkan ke lokasi kerja yang sayu itu. Saya menonton kembali pada tahun ini, sehinggalah siri terakhir semalam.
Pada awal episod di musim pertama, saya terpesona dengan Madeleine Stowe. Ahhh..kali pertama saya menonton beliau ironinya untuk filem juga bertajuk Revenge, dimana dia berlakon bersama superstar hebat Anthony Quinn dan Kevin Costner. Saya terpaku kerana melihat betapa cantiknya Madeleine Stowe berambut hitam panjang. Namun paling tertarik saya dengan dialog legend Anthony Quinn kepada Kevin Costner, dimana ‘sebagai seorang lelaki, hormatilah saya sebagai orang tua’. Cara penyampaian Quinn memang meremangkan bulu roma dimana pengakhiran karektor antagonis yang mengagumkan. Walaupun ia berkisar dendam yang mengerikan penamatnya. Selain itu, Emily VanCamp yang memainkan watak sebagai Emily Thorne/Amanda Clarke juga tersangat menyerlah. Dengan kecantikan semulajadi, ditambah pakaian yang tersangat cantik, dia memang hebat di layar dan mengujakan untuk ditonton. Tanpa melepas walau sepicing pandang.
Namun, persoalan utama adalah dendam.
Dendam jika disimpan lama-lama, ia akan menyerang dari dalam sedikit-sedikit. Seakan sekam di dalam api. Membakar sedikit-sedikit namun memusnahkan akhirnya. Dendam walaupun di dalam diam boleh membuakkan lahar gunung berapi. Jadi, untuk apakah berdendam? Adakah kita akan berpuas hati menyematkan dendam dalam jiwa yang akhirnya merosakkan hati?
Lihat dendam yang bermula dengan cinta. Apakah pengakhirannya ?? (Secret, Korean TV drama, 2013).
Namun cinta, yang bermula dengan dendam, dimanakah hujungnya?
Tanpa menafikan, dendam itu tetap dalam hati saya. Sehingga kini.